suria

Vaksin Ternakan Keperluan Mendesak Negara Sekarang - TPM

WASHINGTON: Malaysia sedang meneroka peluang untuk menghasilkan vaksin ternakan bagi mencegah penyakit Newcastle dan Avian Influenza yang menyerang haiwan ternakan hingga mengakibatkan kerugian besar kepada industri penternakan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia berhasrat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana institusi penyelidikan yang mampu menghasilkan vaksin berkenaan kerana ia merupakan keperluan mendesak negara.

Muhyiddin, yang diberi taklimat mengenai tujuh penyelidikan berkaitan bioteknologi, pertanian dan veterinar ketika melawat Universiti Maryland di sini Isnin, berkata Malaysia berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan institusi itu yang telah mengusahakan penyelidikan mengenai vaksin ternakan Newcastle dan Avian Influenza.

"Ia memang keperluan mendesak (untuk hasilkan vaksin). Kita masih tidak berjaya menangani masalah ini dan masih mengalami masalah sama. Mungkin dengan kerjasama ini (dengan University Maryland) kita boleh dapat manfaat. Mereka memang ada projek yang telah dimulakan dan ada kepentingan dengan kita di Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia selepas melakukan lawatan itu.

Universiti Maryland, yang dilawati Muhyiddin sempena lawatan kerja empat harinya ke Washington mulai Ahad, diiktiraf sebagai satu universiti penyelidikan awam terkemuka di Amerika Syarikat.

Terdapat 18 penuntut Malaysia kini sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana di universiti berkenaan.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mencadangkan agar kerangka kerjasama atau memorandum antara Malaysia dan Universiti Maryland diwujudkan bagi membolehkan agensi berkaitan di Malaysia dapat mengadakan kerjasama bidang penyelidikan yang menunjukkan kemajuan seperti penghasilan vaksin haiwan.

Beliau berkata, Universiti Maryland telah menjalin kerjasama dengan banyak negara, dengan projek penyelidikan mereka dimanfaatkan negara terbabit seperti penghasilan vaksin haiwan di Indonesia, Mexico dan negara-negara Afrika.

"Perlu ada memorandum induk untuk kita kenal pasti bidang-bidang (kerjasama) dan mengerakkannya lebih ke depan supaya kerjasama (sedemikian) dapat menghasilkan banyak manfaat kepada Malaysia," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan University Maryland telah mengadakan kerjasama peringkat awal dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkaitan vaksin dan mahu hubungan kerjasama itu diperkukuhkan. - BERNAMA

Artikel Lain