suria

16 Ditahan Cuba Hasut Orang Ramai Sertai Perhimpunan Haram

PETALING JAYA: Polis telah menahan 16 lelaki yang dipercayai menghasut orang ramai supaya menyertai perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata kesemua mereka yang ditahan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis, iaitu perhimpunan tanpa permit polis yang sah, dibebaskan dengan jaminan polis.

"Tangkapan kesemua mereka ini dilakukan di sekitar Shah Alam, Gombak, Klang Utara dan yang terbaru pagi semalam, iaitu lapan orang ditahan di Taman Kosas, Ampang," katanya kepada pemberita hari ini selepas menghadiri majlis penyerahan sijil kepada beberapa individu yang berjaya mematahkan kes ragut di sekitar Subang.

Tun Hisan berkata penahanan 16 individu terbabit adalah kerana polis mempunyai kuasa mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah iaitu tindakan pencegahan daripada berlakunya sebarang jenayah.

"Bukan maksud orang itu pakai baju kuning (dipakai semasa perhimpunan), kita tangkap. Polis juga ada prosedur atau asas nak tangkap seseorang itu, maknanya bila ada perkara yang disyaki serta maklumat, barulah tangkapan akan dilakukan," katanya.

Tun Hisan meminta orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan haram itu kerana ia akan memberi kesan buruk terutamanya kesesakan jalan raya dan keselamatan orang ramai.

"Di Selangor sahaja, kita dah terima 222 laporan polis yang membangkang perhimpunan ini. Jadi orang ramai tak suka benda ini, ini bukan budaya kita," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain