suria

Khidmat Doktor Pakar Di Hospital Dan Klinik Kerajaan Masih Perlu Ditambah

SEREMBAN: Khidmat doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan di hospital dan klinik kerajaan masih perlu ditambah dalam memberi khidmat rawatan terbaik kepada penduduk negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abd Rahman berkata isu kekurangan doktor pakar di negara ini bukan isu baru tetapi hingga kini kekurangan itu belum dapat diisi sepenuhnya.

"Setakat ini kita mempunyai 186 doktor pakar dan kita masih memerlukan banyak lagi doktor pakar. Sebab itulah kita melatih dan menggalakkan lagi doktor kita untuk menjadi pakar," katanya kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin merasmikan Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga Malaysia ke-15 di sini Jumaat.

Beliau berkata kementeriannya telah melakukan pelbagai perkara untuk menangani kekurangan itu termasuk mendapatkan khidmat doktor pakar dari luar negara yang diambil secara kontrak.

Katanya terdapat dua kategori doktor pakar dari luar negara iaitu doktor pakar di kalangan rakyat Malaysia di luar negara yang digalakkan untuk balik berkhidmat di Malaysia dan doktor pakar asing yang diambil secara kontrak.

Sementara itu, Dr Hassan berkata kerajaan menyediakan banyak kemudahan bagi orang ramai untuk mendapatkan khidmat rawatan kesihatan seperti di hospital dan klinik kesihatan.

"Tapi orang awam ini, bila ditanya dia nampak hospital sahaja. Bila dia sakit saja, dia mahu pergi hospital, sedangkan kita mempunyai 808 buah klinik kesihatan, 1,906 buah klinik desa dan 6,000 klinik swasta di seluruh negara yang turut menempatkan doktor pakar dan terdapat 136 hospital kerajaan dan 237 hospital swasta di negara ini.

"Oleh itu, apabila seseorang itu sakit, mereka adalah digalakkan supaya pergi ke klinik kesihatan ini, melainkan jika cedera parah dan sakit tenat. Malah kini terdapat 31 klinik kesihatan ini yang terdapat di bandar memberi khidmat sehingga 9.30 malam," katanya.

Persidangan empat hari anjuran Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMS) disertai seramai 450 peserta termasuk dari luar negara.- BERNAMA

Artikel Lain