suria

Salah Guna PAS Lawatan Pelajar, Lesen IPTS Boleh Dibatalkan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh menggantung atau membatalkan lesen operasi sesebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) jika didapati menyalahgunakan pas lawatan pelajar asing sekiranya IPTS itu berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementeriannya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai lebih 20 IPTS di negara ini yang disenaraihitam kerana menyalahgunakan pas lawatan pelajar asing.

Beliau berkata ia bagi memastikan sama ada institusi yang terlibat berada di bawah bidang kuasa kementerian, atau sebaliknya.

"Ada kolej yang juga namanya kolej swasta tapi bukan di bawah akta IPTS. Ia mungkin sebagai pusat latihan yang berdaftar di bawah kementerian yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Asia-Pacific Conference on Library and Information Education and Practice: Issues, Challenges and Opportunities (A-LIEP2011)" di sini, Rabu.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Sektor Operasi Unit Pemerdagangan Manusia Jabatan Imigresen Abdul Hamid Ahmad sebagai berkata lebih 20 IPTS disenaraihitam oleh KDN kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan pelajar asing, dan menggunakan kolej untuk membawa masuk warga asing ke negara ini dengan berdaftar sebagai pelajar.

Beliau berkata kementerian tidak akan berkompromi dalam hal penyalahgunaan lesen dan kesalahan-kesalahan lain oleh IPTS, malah pemantauan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan kualiti IPTS di negara ini sentiasa berada di tahap yang baik.

"Sejak tiga tahun lepas, secara purata 20 lesen IPTS dibatal setiap tahun, manakala 20 lagi digantung kerana kesalahan-kesalahan tertentu melalui pemantauan dengan pelbagai cara termasuk audit mengejut, audit tahunan dan lawatan mengejut berdasarkan aduan pelajar atau orang ramai," katanya.

Saifuddin berkata sehingga kini terdapat 49 IPTS bertaraf universiti atau kolej universiti di negara ini, yang tidak menimbulkan sebarang masalah dan mempunyai rekod yang cemerlang, manakala lebih 300 IPTS bukan bertaraf universiti atau kolej universiti yang merupakan kolej yang kecil dan menawarkan kursus-kursus di peringkat sijil.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata usaha untuk membangunkan perpustakaan awam di negara ini perlu dipertingkatkan, malah perpustakaan sekolah perlu diselia oleh mereka yang terlatih dalam bidang sains informasi kerana buku bukan masalah utama di mana-mana perpustakaan, sebaliknya mengenai pengurusan ilmu di perpustakaan itu.

Dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), persidangan tiga hari itu akan membincangkan mengenai isu dan cabaran pendidikan dan amalan dalam bidang perpustakaan dan sains maklumat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain