suria

Zakiah Anas Lantik Peguam Syarie Wakil Hakam

PETALING JAYA: Personaliti TV3, Zakiah Anas pada Rabu, melantik seorang peguam syarie untuk mewakilinya dalam jawatan kuasa hakam (penimbangtara) kedua bagi mencari jalan penyelesaian masalah perkahwinannya.

Pada prosiding sebutan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Zakiah melantik peguam syarie Roshdan Sujak Rafie manakala suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib akan diwakili oleh Imam Masjid Kampung Johan Setia, Wangsa Maju, Tuan Mohd Zamani Tuan Ahmad.

Pelantikan hakam itu dibuat di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding yang dijalankan secara tertutup dan laporan hakam itu akan dibentangkan pada 25 Julai ini.

Zakiah hadir di mahkamah bersama empat anggota keluarganya dan diwakili oleh peguam syarie Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof tidak diwakili peguam.

Ini merupakan lantikan hakam kali kedua, selepas jawatan kuasa hakam pertama dilantik pada 11 April lalu.

Semasa membentangkan laporan hakam di mahkamah sama pada 16 Mei lalu, wakil kepada Zakiah, Muhammed Shouib Awalludin yang merupakan bekas kadi membuat kesimpulan menasihatkan Mohamad Yusof untuk menceraikan isterinya dengan lafaz talak satu.

Bagaimanapun, Mohamad Yusof nekad tidak mahu menceraikan isterinya dan masih berhasrat untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak 18 tahun lalu atas alasan masih sayangkan Zakiah.

Wakil hakam kepada Mohamad Yusof, iaitu seorang imam masjid, Mohd Azizi Mohd Yaakob semasa itu memberitahu, lelaki tersebut ingin menyelamatkan Zakiah yang kian hanyut dengan memberi perumpamaan seperti `sampan yang hanyut dalam lautan luas’ kerana meninggalkan rumah tanpa izinnya.

Sebelum jawatan kuasa hakam, Jawatan Kuasa Pendamai juga gagal untuk mendamaikan dan memujuk agar pasangan tersebut boleh kembali sebagai suami isteri.

Keretakan rumah tangga pasangan tersebut bermula sejak tahun 2009 apabila Zakiah, 45, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Dia kemudiannya meminda permohonan itu sebanyak dua kali, iaitu kepada fasakh dan taklik sebelum menarik semula permohonan pada 1 September 2009.

Serentak dengan penarikan itu, Mohamad Yusod, 49, menarik semula permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkannya.

Pada Januari 2010, Zakiah sekali lagi memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik yang berlanjutan sehingga kini.

Zakiah dan Mohamad Yusof dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15 tahun.

Artikel Lain