suria

ADUN Sarawak Diminta Jaga Perpaduan, Elak Isu Perkauman

KUCHING: Semua Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak diingatkan agar tidak membangkitkan isu-isu sensitif dan sentimen berbaur perkauman semasa berhujah sebaliknya hendaklah mengemukakan cadangan yang membina secara tertib demi menjaga keharmonian serta perpaduan.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berkata rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap komitmen dan keupayaan wakil-wakil mereka untuk membela kebajikan dan menjamin kemakmuran.

"Amanah rakyat perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Saya berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat dapat membahaskan idea-idea yang bernas secara tertib dan harmoni semasa sesi perbahasan nanti.

"Walaupun negeri ini mengamalkan sistem demokrasi, ia bukanlah alasan untuk membangkitkan isu sensitf. Saya ingin mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat sentiasa menjaga tatatertib dan kesopanan semasa berhujah dalam Dewan yang mulia ini," katanya ketika merasmikan persidangan penggal pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak yang ke-17 pada Selasa.

Ini merupakan persidangan pertama dewan itu sejak pilihan raya negeri ke-10 diadakan pada 16 April lepas. Abang Salahuddin menyeru penduduk Sarawak menjaga keamanan dan perpaduan antara kaum yang dikecapi selama ini agar mereka tidak diracuni unsur-unsur luar.

Beliau berharap pelbagai program kebudayaan dan sambutan perayaan dipergiatkan untuk meningkatkan integrasi masyarakat berbilang kaum selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu teguh dan maju.

"Saya yakin melalui konsep 1Malaysia, perpaduan dan kesaksamaan kaum dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik dapat dinikmati bersama. Konsep ini merupakan satu pendekatan yang baik bagi mengatasi cabaran dalam memupuk perpaduan," katanya. Abang Salahuddin, yang prihatin dengan beberapa kes melibatkan golongan muda dari Sarawak yang dipergunakan sebagai 'keldai dadah' dan diberkas di luar negara, menyeru agar golongan ini berhati-hati dalam pergaulan mereka.

"Ibu bapa juga berperanan mengawasi pergaulan anak-anak agar tidak terjebak dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain