suria

JPJ Laksana Sistem e-Tukar November

GENTING HIGHLANDS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka melaksanakan sistem e-Tukar yang akan membolehkan orang ramai memeriksa maklumat berkaitan pembelian dan penjualan kereta secara online, pada November ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata maklumat online itu dibangunkan oleh eAuto Sdn Bhd dan disokong penuh JPJ, akan membolehkan orang ramai memeriksa maklumat mengenai kereta yang mereka mahu beli, terutamanya butiran mengenai pemilik asalnya dan butiran penting yang lain.

Menerusi sistem itu, seseorang boleh mengesan rekod dan status kewangan pemilik asal dan status kenderaan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) 2011 di sini, Ahad.

"Jika ada sesiapa yang memutuskan untuk menjual kereta mereka kepada syarikat kereta terpakai, syarikat berkenaan boleh memeriksa butiran kenderaan itu menerusi sistem e-Tukar sebelum melakukan penukaran hakmilik sementara.

"Sebaik sahaja kenderaan itu ditukarkan kepada nama syarikat kereta itu, pelanggan tidak lagi mempunyai hak ke atas kenderaan berkenaan selepas itu dan tidak sepatutnya berasa tertipu," katanya.

Solah berkata ini akan dapat menyelesaikan masalah saman dan isu pinjaman kereta apabila seseorang itu memutuskan untuk menjual keretanya kepada syarikat kereta terpakai.

"JPJ akan memberikan tempoh enam bulan kepada syarikat untuk mencari pembeli baru. Jika mereka gagal menjual kereta itu dalam tempoh itu, hakmilik kereta perlu ditukarkan kepada syarikat kereta terpakai itu," katanya.

Perkhidmatan e-Khidmat dijalankan secara usaha sama dengan FMCCAM yang mempunyai 3,000 anggota yang perniagaan teras mereka ialah membeli dan menjual kereta terpakai, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif eAuto Sdn Bhd Ganesh Kumar Bangah berkata pelaksanaan perkhidmatan online itu akan dapat membantu meningkatkan jualan kereta terpakai.

Katanya syarikat itu sedang menjalankan program latihan untuk anggota FMCCAM di seluruh negara mengenai bagaimana menggunakan perkhidmatan online itu menerusi protal sehenti di www.eAuto.my.

Beliau berkata sistem e-Tukar juga akan membantu JPJ memperoleh maklumat terperinci mengenai hakmilik kenderaan dan pangkalan data jualan kereta terpakai yang lebih selaras menerusi penggunaan aplikasi sistem biometrik.

Katanya syarikat itu juga menawarkan pelbagai aplikasi berasaskan web bagi e-Khidmat seperti e-Pengumuman, e-Forum, e-Direktori dan e-Buletin Berita. BERNAMA

Artikel Lain