suria

Biasiswa RM12 Juta:Pemangkin Untuk Pelajar Afrika Belajar Di Luar Negara

PUTRAJAYA: Biasiswa berjumlah sehingga RM12 juta yang ditawarkan oleh Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing Malaysia kepada semua negara Afrika tepat pada masanya kerana ia akan menjadi pemangkin untuk lebih ramai pelajar dari benua itu melanjutkan pelajaran ke luar negara, kata pegawai atasan kerajaan Lesotho pada Ahad.

Tlohang Sekhamane, setiausaha kerajaan negara berkenaan berkata, "Ini ialah tawaran terbaik dan tepat pada masanya oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing.

"Ia amat dialu-alukan," kata beliau kepada Bernama di Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 yang ke-9 di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan biasiswa pendidikan untuk para pelajar Afrika dalam ucaptamanya.

Limkokwing, yang mempunyai kampus di Lesotho, Botswana dan Swaziland, menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak untuk program-program ijazah Teknologi dan Kreativiti Pintar kepada semua negara Afrika.

Biasiswa RM12 juta itu terdiri daripada 45 biasiswa tuisyen sepenuhnya, 450 biasiswa sebahagian yang kurang 30 peratus daripada yuran tuisyen dan lima hari latihan dalam kepimpinan transformasi untuk 150 pegawai kerajaan.

Sekhamane maklum yang biasiswa itu sudah pastinya akan menyemarakkan lebih minat untuk para pelajar Lesotho memasuki Universiti Limkokwing.

Pada masa ini, lebih 8,000 pelajar Lesotho meneruskan pengajian di universiti itu dan jumlah itu akan meningkat, kata beliau.

"Tawaran biasiswa itu akan menjadikannya lebih mudah bagi warga Lesotho menyertai Universiti Limkokwing dan institusi pengajian tinggi yang lain di Malaysia," kata beliau.

Ditanya sama ada terdapatnya keperluan untuk menambah kursus di Universiti Limkokwing di Lesotho, Sekhamane berkata, "Belum. Belum lagi. Saya rasa kurikulum yang mereka ada sekarang merupakan permulaan yang amat baik."

Ditanya juga sama ada lebih banyak universiti patut dibuka di Lesotho, kata beliau: "Kami sudah ada beberapa sekarang ini seperti Universiti Nasional Lesotho dan Universiti Limkokwing. Cukuplah buat masa ini. Apa yang penting sekarang ialah memastikan standard dan kualitinya sebelum kita bergerak ke hadapan untuk mewujudkan lebih banyak institusi."

Afrika menyaksikan satu lagi pembukaan kampus Limkokwing apabila Limkokwing Lesotho dilancarkan pada Okt 2008, selepas kejayaannya menembusi Botswana setahun sebelumnya.

Dengan pembukaan itu, landskap pendidikan di Lesotho menyaksikan transformasi pendidikan tinggi dan pemerkasaan generasi mudanya dengan pendidikan kreatif.

Kampus baharu itu yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Lesotho Pakalitha, menandakan kemasukan pertama universiti Malaysia ke Lesotho - dan pewujudan kampus kedua Limkokwing di Afrika.

Naib presiden kanan Universiti Limkokwing, Datuk Gail Phung berkata latihan lima hari dalam kepimpinan transformasi ialah untuk 150 pegawai kerajaan dari negara-negara Afrika.

"Saya percaya ini adalah antara cara yang kita boleh buat sebagai sumbangan kepada latihan pembangunan sumber di negara-negara terutamanya dalam bidang kreativiti dan inovasi," kata beliau.

Pada masa ini, beliau berkata Universiti Limkokwing yang terletak di Cyberjaya itu mempunyai lebih daripada 12,000 pelajar di kampus-kampusnya di Botswana, Lesotho dan Swaziland.- BERNAMA

Artikel Lain