suria

PM Lakukan Tinjauan Mesra Merentasi Dua "Negeri" Di Lembah Keramat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat merentasi "dua negeri" ketika melakukan tinjauan mesranya ke kawasan yang terletak di Parlimen Setiawangsa, Wilayah Persekutuan dan Parlimen Gombak, Selangor.

Najib memulakan tinjauan mesranya pada kira-kira 4 petang ke kawasan perumahan di AU5D Lembah Keramat yang terletak di dalam kawasan Parlimen Setiawangsa.

Selain beramah mesra dengan penduduk setempat, beliau turut singgah di dua buah rumah di kawasan perumahan tersebut dan melawat dua warga emas yang uzur iaitu Noraini @ Selamah Mohd Nor, 64 dan Bahazar Jidin, 75.

Dari kawasan perumahan itu, Najib meneruskan tinjauan mesranya di Surau At-Taqwa, yang berdasarkan persempadanan berada di dalam kawasan Parlimen Gombak, yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan tersebut untuk menyertai kariah surau tersebut menunaikan solat Asar.

Selepas menunaikan solat, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menaiktaraf surau itu kepada masjid ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 penduduk yang menanti kedatangan beliau di bawah khemah yang disediakan berhampiran masjid tersebut bagi melihat beliau secara lebih dekat.

"Program tinjaun mesra ini berlaku di dua negeri, tadi saya turun dari kereta di Setiawangsa kemudian masuk sempadan Parlimen Gombak. Sekarang saya bercakap di hadapan orang Selangor. Inilah program serampang dua mata," kata Najib dalam ucapannya.

Katanya, tinjauan mesra merupakan pendekatan yang diminatinya kerana dapat bertemu dan memahami keadaan rakyat secara lebih dekat tanpa halangan protokol.

"Tiada apa yang dapat memuaskan hati saya sebagai seorang pemimpin selain dapat berjumpa dan bertanya khabar rakyat kerana ini merupakan tugas utama pemimpin," katanya.

Najib meneruskan tinjauan mesranya ke pasar raya Giant, Taman Permata selama kira-kira 15 minit sebelum ke Kampung Kuala Ampang, Ampang.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 penduduk itu, beliau mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi membina gelanggang bola keranjang berbumbung dan mengakhiri tinjauan mesraboutnya sekitar 7 malam.

Sepanjang program tinjauan mesranya, Najib diiringi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain