suria

Muhyiddin Mulakan Lawatan Ke KL Dengan Bersarapan Bersama Penduduk Dan NGO Parlimen Batu

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) disambut penduduk Flat Jalan Tun Razak Kampung Padang, Kampung Baru, sempena Pogram Turun Padang Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahad. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) disambut penduduk Flat Jalan Tun Razak Kampung Padang, Kampung Baru, sempena Pogram Turun Padang Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahad. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) disambut penduduk Flat Jalan Tun Razak Kampung Padang, Kampung Baru, sempena Pogram Turun Padang Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahad. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan program turun padangnya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan bersarapan pagi 1Malaysia bersama lebih 2,000 penduduk dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Batu, di sini walaupun hujan lebat awal pagi Ahad.

Timbalan Perdana Menteri yang tiba di Taman Billion Mewah pada pukul 8.30 pagi bersama isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Semasa berucap pada majlis tersebut, Muhyiddin berkata hubungan NGO dan kerajaan perlu sentiasa erat bagi memastikan masalah rakyat dapat disampaikan kepada kerajaan untuk diselesaikan.

Selain itu, NGO juga mesti memahami segala dasar kerajaan yang ada supaya apabila berdepan dengan orang ramai mereka dapat memahami masalah tersebut dan membawanya kepada kerajaan untuk diberi perhatian segera, katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat dan bukan hanya kerana pilihan raya.

"Kita bekerja untuk sepanjang masa kerana selagi ada rakyat yang kita perlu bela nasib mereka, maka selagi itulah kita bekerja untuk memperbaiki kehidupan mereka," katanya.

Menyentuh mengenai kawasan Batu, Muhyiddin berkata antara masalah yang dikenal pasti antaranya ialah masalah melibatkan penjaja, pemandu teksi dan mereka yang bekerja sendiri serta kemudahan yang diperlukan rakyat.

Masalah tersebut perlu diselesaikan oleh agensi kerajaan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), katanya.

"Saya yakin banyak program telah pun dibuat untuk menyelesaikan masalah rakyat, namun masih banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan hidup mereka lebih selesa lagi pada masa sekarang, apa lagi pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bernilai RM159,500 kepada empat orang yang terdiri daripada empat kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Sikh bagi mewakili 225 NGO di kawasan itu.

Ia adalah untuk digunakan antaranya bagi mengatasi beberapa keperluan tempat ibadat penduduk kawasan tersebut termasuk masjid dan surau serta tokong dan kuil.

Muhyiddin dan isteri pada majlis perjumpaan itu turut membantu menyediakan roti canai untuk dijamu kepada para hadirin.

Selepas dua jam di majlis itu, Muhyiddin bersama Mohd Shafie dan Raja Nong Chik meneruskan kunjungan mesra ke Kampung Baru, bermula di Kampung Pindah serta menemui penghuni Flat Jalan Tun Razak, di Kampung Padang.

Di Kampung Pindah, Muhyiddin melawat kawasan tanah mendap yang mewujudkan lubang sedalam tiga kaki (0.9144 meter) di Jalan Syed Mahadi ketika hujan lebat dan banjir kilat pada 14 April lepas, menyebabkan 40 keluarga di situ dipindahkan ke Wisma Belia.

Timbalan Perdana Menteri kemudian mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi Kumpulan Ikram Sdn Bhd menjalankan kajian mengenai sebab dan kesan tanah mendap yang pertama kali berlaku di kawasan itu.

Sebanyak RM500,000 lagi diluluskan untuk membaiki dan membaik pulih jalan raya serta kawasan berdekatan, katanya semasa berucap selepas mengadakan lawatan ke Flat Jalan Tun Razak di sini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM450,000 untuk mengecat bangunan tujuh blok Flat Jalan Tun Razak.

Dalam ucapannya itu, Muhyiddin berharap segala rancangan yang disusun kerajaan untuk memaju dan membangunkan Kampung Baru akan mendapat sokongan penduduk kawasan tersebut terutama pemilik tanah.

Katanya kerajaan tidak mempunyai niat terselindung dalam membangunkan kawasan itu, sebalik hanya untuk memastikan khazanah negara yang tidak ternilai itu dapat dibangun dan dimajukan setimpal dengan kemajuan di sekitarnya.

Muhyiddin kemudian menuju ke Restoran Matahir di Kampung Baru untuk mendengar masalah kira-kira 30 pemandu teksi Kuala Lumpur.

Pada pertemuan setengah jam itu, pemandu teksi terbabit antara lain membangkitkan masalah saman, penguatkuasaan serta peraturan sesetengah pusat beli-belah yang hanya membenarkan syarikat teksi yang menjadi anggota mereka mengambil penumpang di premis berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri kemudian ke Pusat Islam untuk merasmikan "Simposium Manhaj, Pengurusan Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan" yang dihadiri 200 peserta anjuran Umno Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Semasa merasmikan simposium itu, Muhyiddin mengingatkan para pendakwah Islam dan pemimpin institusi masjid dan surau supaya mengenepikan sebarang perbezaaan baik dari segi fahaman, mazhab atau ideologi politik untuk mencapai matlamat perpaduan ummah.

"Para pendakwah dan pemimpin institusi masjid serta surau menggalas amanah yang besar untuk merealisasikan hasrat perpaduan ummah, lebih-lebih lagi perpaduan adalah satu tuntutan agama," katanya.

Beliau juga berkata kumpulan itu berada di barisan hadapan untuk membela kesatuan ummah yang melangkaui sebarang perbezaan, termasuklah ideologi, fahaman dan fikiran.

Muhyiddin kemudian menunaikan solat Zuhur di Masjid Negara sebelum meneruskan kunjungan mesranya ke Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Dang Wangi, dan disambut oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan pegawai kanan polis Kuala Lumpur.

Beliau telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zulkarnain Abdul Rahman dan Ketua Balai Polis Dang Wangi Cif Inspektor Ahmad Azrin Amin Nordin mengenai operasi IPD dan balai polis serta kadar jenayah di sekitar Kuala Lumpur.

Muhyiddin yang selepas itu berkunjung ke Jalan Masjid India, turut beramah mesra dan bersalaman dengan para pengunjung yang datang membeli-belah di situ.

Beliau yang tiba di Semua House pada pukul 3.05 petang disambut oleh Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Datuk Syed Ibrahim Kader, telah meninjau kedai dan gerai makanan di situ, serta mengenal pasti masalah para peniaga di kawasan tersebut.

Muhyiddin turut singgah ke Pondok Polis Jalan Masjid India untuk mendapatkan maklum balas mengenai kejadian jenayah di kawasan yang sentiasa menjadi tumpuan warga kota, terutama pada hujung minggu.

Syed Ibrahim berkata peniaga di sekitar kawasan itu amat gembira dan berpuas hati dengan kunjungan Muhyiddin bagi membolehkan mereka menyuarakan pandangan dan permasalahan mereka, yang diharapkan dapat diberi perhatian oleh kerajaan.

Beliau berkata kawasan itu mempunyai lebih 100 premis perniagaan.

Muhyiddin kemudian mengadakan lawatan ke Lembah Pantai dan disambut oleh hampir 2,000 orang.

Pada majlis minum petang bersama penduduk di kawasan itu, beliau turut mengumumkan yang kerajaan akan menaik taraf Sekolah Menengah Seri Pantai, Kg Kerinchi yang akan dilaksanakan di bawah kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesepuluh tahun depan.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian itu juga sedang berbincang untuk membina sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di kawasan Lembah Pantai bagi memenuhi keperluan pendidikan berikutan pertambahan penduduk di kawasan itu.

Beliau berkata dalam kerajaan dalam usaha membawa pembangunan kepada rakyat, turut memberikan penekanan kepada aspek "sentuhan kemanusiaan".

Muhyiddin yang memulakan tinjauan mesranya ke Kuala Lumpur sejak pukul 8.30 pagi tadi, mengakhiri lawatannya itu pada pukul 5 petang.

Malam ini, Timbalan Perdana Menteri akan merasmikan Sukan Malaysia ke-14 di Stadium Bolasepak KL di Bandar Tun Razak, Cheras. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain