suria

58 Kawasan Perumahan Berbukit Di KL, Selangor Hadapi Risiko Tanah Runtuh

KUALA LUMPUR: Kira-kira 58 kawasan perumahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang berada dalam lingkungan kawasan berbukit berisiko mengalami kejadian tanah runtuh, kata Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Mohd Noor Yaacob.

Beliau berkata jumlah itu diperolehi berdasarkan kajian yang dibuat oleh JKR tahun lepas mengenai taman-taman perumahan yang berada di kawasan berbukit dan berisiko.

"Kesemua 58 kawasan perumahan itu terletak dalam kawasan empat pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS)," kata Mohd Noor kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Katanya kawasan yang terbanyak disenaraikan lokasi berisiko ialah di MPAJ iaitu sebanyak 39 kawasan; antaranya Bukit Antarabangsa, kawasan Taman Melawati, Kampung Pasir, Taman Wangsa Ukay, Ukay Height, Ukay Perdana, Kampung Tengah, Taman Keramat dan Sering Ukay.

Selain itu, Beverly Height, Taman Hillview, Dataran Ukay, Taman Sri Ukay, Villa Sri Ukay, Bukit Utama serta puncaknya, Taman Sri Watan Taman Tun Abdul Rahman (TAR), Taman Kesuma, Taman Cheras Utama, Kampung Cheras Baru, Taman Bukit Permai, Taman Muda, Taman Saga, Taman Teratai, Taman Mega Jaya.

Taman Mulia Jaya, Taman Permai Jaya, Lembah Jaya Selatan, Kampung Bukit Sungai Seputih dan Taman Bukit Indah juga merupakan lokasi berisiko.

Tambahnya di kawasan DBKL pula ada 11 iaitu Taman Melati, Desa Melawati, Wangsa Maju, Setapak, Taman Keramat Permai, Setiawangsa, Kampung Warisan di Jelatek, Kampung Setia Jaya, Keramat Wangsa dan di Kolej TAR. Menurutnya di MPKJ pula ialah Taman Perkasa Indah, Taman Melur, Taman Tasek Permai, Ampang - Hulu Langat serta Hilltop Link Road.

"Paling sedikit ialah di kawasan MPS sebanyak tiga lokasi iaitu di Cemerlang Height, Gombak Setia dan Plaza Tol Lebuhraya Karak," katanya.

Mohd Noor berkata kawasan yang dianggap paling berisiko adalah yang terletak pada 100 kilometer persegi dari kawasan cerun bukit.

Katanya terdapat dua kategori kawasan bukit yang berbahaya iaitu pertama 'Hazard' tahap bahaya cerun di mana tidak terdapat kawasan perumahan di situ dan jika berlaku tanah runtuh tidak mengancam nyawa manusia.

"Kategori kedua ialah kawasan berisiko di mana terdapat kawasan perumahan di tempat tersebut dan jika berlaku tanah runtuh akan mengancam nyawa manusia," katanya.

Beliau juga menyarankan sesiapa yang bercadang untuk membina rumah di kawasan cerun bukit supaya memastikan sistem saliran di kawasan itu disalurkan ke tempat betul, dan bukan dibiarkan begitu sahaja. "Ini kerana cerun bukit lemah dengan wujudnya air, selain itu individu tersebut juga harus mengambil kira kepentingan teknikal cerun serta membuat reka bentuk rumah yang sistematik," katanya.

Bagaimanapun menurutnya pada kebiasaan sebelum pemilik rumah hendak membina rumah di kawasan cerun bukit, mereka akan melantik seorang perunding untuk melihat struktur tanah.

"Perunding yang dilantik akan memeriksa kawasan rumah sebelum menghantar kertas cadangan kepada pihak berkuasa tempatan untuk diluluskan," katanya.

Beliau berkata selain itu orang ramai juga disaran membuat rumah yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sistematik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain