suria

Kastam Perak Tumpas Cubaan Seludup Keretek Bernilai RM140,000

LUMUT: Bahagian Penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perak menumpas dua cubaan menyeludup masuk rokok keretek bernilai kira-kira RM140,000 dalam dua serbuan berasingan pada 12 Mei dan semalam, kata Timbalan Pengarah KDRM Perak, Abdul Latif Abdul Kadir.

Katanya, cukai bagi rokok-rokok keretek berkenaan bernilai hampir RM400,000.

Bercakap kepada pemberita di pejabat Cawangan Penguatkuasaan KDRM Kampung Acheh di sini, Khamis, beliau berkata kes pertama pada 12 Mei membabitkan penahanan sebuah van di Jalan Sabak Bernam-Hutan Melintang.

Sebanyak 26 guni rokok keretek jenama Surya, tiga guni Nusantara dan dua guni Nusantara Hijau bernilai kira-kira RM45,000 dijumpai dalam van yang ditinggalkan pemandunya selepas ternampak pasukan berkenaan, katanya.

Dalam kes kedua, sepasukan anggota penguatkuasa menyerbu sebuah jeti pendaratan ikan di Sungai Tiang, Selangor pada kira-kira 4.00 pagi semalam.

Sebanyak 70 guni rokok keretek pelbagai jenama bernilai kira-kira RM95,000 dirampas dari sebuah bot pancung yang mendarat di jeti berkenaan, katanya.

Bagaimanapun beberapa orang lelaki yang berada di dalam bot berkenaan sempat melarikan diri dan usaha mengesan mereka gagal kerana keadaan gelap, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain