suria

Gangguan Bekalan Eletrik Di KLIA Jejas Penerbangan

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan bekalan elektrik pagi Ahad.

Walaupun ia dipulihkan dalam tempoh singkat, kejadian itu telah menyebabkan kelewatan beberapa penerbangan, menurut kenyataan Malaysia Airlines.

"Daripada 42 penerbangan yang dijadualkan, 13 tertangguh dan lebih 300 beg tertinggal akibat gangguan bekalan elektrik itu," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Malaysia Airlines sedang berusaha menyelesaikan masalah bagasi tertinggal itu semasa gangguan berkenaan serta sedang berusaha memulihkan jadual penerbangan dan memastikan gangguan minimal terhadap penerbangan penumpang.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu menasihatkan penumpang membuat pemeriksaan di pejabat Malaysia Airlines di destinasi mereka sebaik tiba sekiranya bagasi mereka tiada.

"Pejabat perwakilan kami akan dapat memberikan khidmat nasihat mengenai jadual ketibaan atau status terkini bagasi mereka," menurutnya.

Semua penumpang yang telah mengesahkan penerbangan dinasihatkan melayari laman web Malaysia Airlines di http:///www/malaysiaairlines.com/hq/en/book-and-plan/flight-status.html untuk memeriksa status penerbangan mereka sebelum pergi ke KLIA. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain