suria

Najib Mahu Pemimpin, Ahli Umno Ikrar Terus Dampingi Rakyat

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu semua pemimpin dan ahli Umno berikrar untuk terus mendampingi serta mendengar suara rakyat agar parti itu kekal sebagai pembela yang terkuat di negara ini.

Beliau juga menyeru pemimpin parti di semua peringkat supaya menghindari sikap berpuak-puak kerana ia boleh menghancurkan parti.

“Umnolah parti keramat untuk orang Melayu, Umno itu Melayu... Melayu itu Umno, kita merupakan parti yang kuat dalam negara ini. Kita tidak mahu Umno senasib parti-parti lain.

“Parti yang telah banyak berjasa tapi telah terkubur, yang telah berbudi tapi mengalami kekalahan. Umno belum mengalami nasib sebegitu dan janganlah kita menghadapi nasib yang sama,” katanya ketika berucap pada majlis Ulang Tahun Sambutan Umno ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam, Rabu.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, ketiga-tiga naib presiden dan ketua-ketua sayap parti.

Najib berkata, beliau juga akan menguji kesetiaan ahli Umno terhadap perjuangan parti pada pemilihan calon pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Apakah kita sudah cukup setia kepada Umno? Apakah tak jadi calon kita akan setia kepada Umno? Betul serah mandat pada pucuk pimpinan? Saya akan uji bila sampai masa nanti.

"Jangan nanti ada yang merajuk, tidak mahu kerja dan pergi ke luar negara kalau tidak terpilih menjadi calon pilihan raya," katanya.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata Umno perlu terus memantapkan agenda transformasi negara agar rakyat dapat menilai perjuangan mereka.

Pada majlis itu, Najib dan barisan ahli Majlis Tertinggi Umno turut menaikkan bendera 'Sang Saka Bangsa' serta memotong pulut kuning.

Artikel Lain