suria

PM Lee Lawat Pusat Mengundi

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Sabtu melawat sebuah pusat mengundi di Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan raya (GRC) Ang Mo Kio untuk memantau proses pengundian di mana pengundi rakyat republik itu mengundi.

Lee, tiba di pusat mengundi Sekolah Menengah Choong Boon di sini pada kira-kira pukul 9.10 pagi.

Perdana menteri itu yang juga calon bagi parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC Ang Mo Kio diiringi oleh lima calon PAP lain, Yeo Guat Kwang, Inderjit Singh, Seng Han Thong, Dr Intan Azura Mokhtar dan Ang Hin Kee.

Selepas menghabiskan masa di sekolah itu kira-kira 10 minit, Lee dan anggota rombongan kemudian melawat pusat mengundi lain di Rosyth School, Serangoon.

Calon pembangkang daripada Parti Reformasi juga hadir di pusat mengundi yang sama.

Proses mengundi berjalan dengan lancar di pusat mengundi tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini kerana kebanyakkan pengundi sangat berdisiplin.

Kebanyakan daripada mereka (pengundi) keluar mengundi awal untuk menjalankan tanggungjawabnya sebaik sahaja pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.

Bagi penuntut, Samantha Foo, 23, berkata proses mengundi sangat mudah dan tanpa keadaan yang tidak menyenangkan.

"Saya tidak payah berbaris lama untuk mengundi kerana semua pegawai di pusat mengundi suka membantu." Saya sangat seronok untuk mengundi kerana ini merupakan buat pertama kali saya mengundi apabila layak mengundi," katanya apabila ditemui di Rosyth School.

Aziz Mokhtar, 60, yang mengundi bersama isterinya di pusat yang sama berkata beliau berharap kerajaan yang dipilih boleh mengekalkan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyatnya.

"Saya juga berharap kerajaan yang dipilih akan mampu membawa negara menerusi kepimpinan yang baik," kata beliau.

Buat pertama kali, pilihan raya umum menyaksikan parti-parti pembangkang bertanding menentang PAP di 82 daripada 87 kerusi.

Pada 2006, PAP menang 66.6 peratus undi dan 82 daripada 84 kerusi di Parlimen.

Kira-kira 2.35 juga rakyat Singapura layak mengundi.

Sementara itu, 1,047,204 atau 47.36 peratus kertas undi telah dikeluarkan pada pukul 12 tengah hari untuk semua bahagian pemilihan yang ditandingi, menurut Jabatan Pilihan raya Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain