suria

Harta Pusaka Syed Kechik RM400 Juta Kekal Ditadbir Bersama

PUTRAJAYA: Persengketaan berhubung siapakah yang berhak menjadi pentadbir bersama harta pusaka Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed berjumlah RM400 juta berakhir hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan harta berkenaan ditadbir secara bersama oleh isteri kedua Allahyarham dan tiga anaknya.

Pada Rabu, mahkamah memutuskan Puan Sri Sofiah Moo Abdullah (isteri kedua Syed Kechik) dan anak perempuannya Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira gagal dalam usaha terakhir mereka untuk menghentikan Syed Gamal (anak lelaki tunggal Syed Kechik bersama isteri pertama) sebagai pentadbir bersama harta pusaka tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak permohonan isteri Syed Kechik dan dua anak perempuannya untuk mendapat kebenaran mahkamah mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Seri Md Raus Sharif membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk N.Vijaykumar yang mewakili Sofiah, dan dua anak perempuannya dan Pawancheek Marican mewakili Syed Gamal.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga perayu menjelaskan kos guaman RM30,000 kepada Syed Gamal selaku responden.

Pada 30 Julai tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memutuskan harta pusaka Allahyarham ditadbir bersama oleh isteri dan tiga anaknya.

Syed Gamal, 46, pemilik kafe siber, merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik hasil perkahwinan Allahyarham dengan Zainab@Eshah Abdullah.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik ketika berusia 80 tahun pada 10 April 2009 kerana sakit jantung tanpa meninggalkan wasiat.

Syed Kechik ialah bapa mertua pengerusi Yayasan Al-Bukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Pada 15 September 2009, Sofiah dan anaknya memfailkan petisyen memohon supaya mereka diberikan surat kuasa mentadbir harta pusaka Allahyarham.

Syed Gamal kemudian memfailkan permohonan kaveat pada 14 April 2009 bagi menghalang keluarga tirinya itu dilantik sebagai satu-satunya pentadbir harta pusaka Syed Kechik. - BERNAMA

Artikel Lain