suria

Warga Emas Rasuah Pegawai TNB Dipenjara Sehari, Denda RM150.000

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang warga emas berusia 61 tahun dipenjarakan selama sehari dan membayar denda RM150,000 kerana merasuah pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah bagaimanapun membenarkan permohonan Lim Hong Liok, agar dia dibenarkan menjelaskan denda itu secara ansuran sebanyak tiga kali dengan dimulakan dengan bayaran sebanyak RM50,000 pada Khamis.

Lim yang merupakan pemilik kilang menghasilkan gabus untuk kegunaan pembungkusan peti sejuk perlu membayar lagi RM50,000 masing-masing pada 20 Mei dan 20 Jun atau sekiranya gagal, tertuduh boleh dipenjarakan selama 15 bulan.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Lim mengaku bersalah memberikan suapan RM30,000 kepada Pegurus Kanan, Bahagian Risikan dan Siasatan TNB, Rumaizi Mohd Amin pada pukul 1 petang, 28 April 2010 di bilik air Hotel Crystal Crown di Jalan Utara, Petaling Jaya, dekat sini.

Suapan itu yang diberikan dalam bentuk wang tunai didakwa sebagai dorongan untuk Rumaizi tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan mencuri arus elektrik di kilangnya di Jalan Sungai Tiram, Johor.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nafhatun Mohd Pozi mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, pada rayuan meringankan hukuman, peguam Feisal Mustapha memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya menghidap penyakit jantung dan mempunyai tanggungan seramai lima orang anak.

“Kilang tertuduh mempunyai 70 orang pekerja dan perniagaannya telah menerima kesan daripada tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini, kerana barangan eksport tidak dapat dikeluarkan.

“Ia telah memberikan kesan kepada pendapatan tertuduh yang turut menghadapi siasatan daripada TNB dan dijangkakan akan didakwa mengikut Akta Bekalan Elektrik,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain