suria

Kesilapan Teknikal Rezeki Mohafri

PEMBEBASAN bekas pengurus katering, Mohafri Mohamed daripada pertuduhan membunuh isterinya, Fazlina Ahmad pada Selasa lalu, merupakan antara yang mendapat perhatian masyarakat.

Pembunuhan tersebut mendapat jolokan sebagai pembunuhan almari ekoran keadaan mayat Fazlina, 38, yang ditemui dalam almari di bilik tidur utama rumah teres yang didiaminya bersama Mohafri dan dua anak mereka pada 30 Disember 2009.

Lebih tragis, mulut dan hidung Fazlina ditampal dengan pita-pita pelekat sebelum dibalut dengan kain selimut tebal, sedangkan wanita yang bekerja sebagai eksekutif swasta tersebut merupakan penghidap asma kronik.

Bagaimanapun, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Khairul Anuar Zainun pada perbicaraan, dinyatakan kematian tersebut bukan disebabkan oleh asma, sebaliknya akibat kelemasan.

Kematian itu juga bukan berlaku dengan serta-merta dan Fazlina mungkin masih hidup antara setengah hingga satu minit selepas diperlakukan sebegitu oleh pembunuhnya.

Berita penemuan mayat itu kemudiannya 'dihangatkan' dengan berita kehilangan Mohafri, manakala teman wanitanya, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23, ditahan sehari selepas kejadian.

Kewujudan Anis dalam perkahwinannya turut disedari oleh Fazlina, 38, yang memaklumkan kepada kakaknya, Faezah bahawa dia dan Mohafri menghadapi masalah rumah tangga dan ingin bercerai disebabkan oleh individu ketiga.

Selepas beberapa hari gambar Mohafri diedarkan, dia akhirnya ditahan dalam keadaan kebiingungan dan munda-mandir di perkarangan Zoo Negara pada 3 Januari 2010 - iaitu lima hari selepas kejadian sebelum kes itu akhirnya dibawa ke mahkamah.

Keterangan pada perbicaraan menyebabkan kes tersebut yang pada mulanya hampir dilupakan kembali menjadi perhatian apabila Nazratul Anis atau lebih senang disapa sebagai Anis mengakui bahawa mereka ada melakukan hubungan seks di hadapan almari yang tersimpan mayat Fazlina.

Menurut Anis, dia hadir ke rumah itu bersama Mohafri kerana mereka akan berlepas ke Perlis dengan menaiki kereta api sebelum melintasi sempadan untuk bernikah di Thailand.

Ada yang mengatakan amat malang untuk Anis kerana semua perkara terssebut didedahkan di sebuah perbicaraan mahkamah yang dihadiri media menyebabkan berita tersebut terpampang - termasuk di muka hadapan akhbar pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, niat untuk mendirikan masjid itu tidak kesampaian apabila Anis ditinggalkan oleh Mohafri di stesen Rawang.

Turut disebut di mahkamah ialah penafian seorang rakan Fazlina, Safiyaton Omar,39, terhadap cadangan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohafri bahawa dia dan mangsa mempunyai hubungan intim.

Bagaimanapun, perbicaraan kes yang pada awalnya menarik sedikit merundum apabila saksi utama, iaitu seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah itu gagal ditemui.

Sedangkan, wanita bernama Yayok itu adalah kunci kepada penemuan mayat itu - memandangkan dialah yang menghubungi Safiyaton selepas curiga kerana tidak bertemu Fazlina sedangkan keretanya masih berada di halaman rumah.

Perasaan curiga itu nyata makin kuat apabila dia diarahkan oleh Mohafri agar tidak memasuki bilik tidur tersebut mahupun menyentuh almari atas dakwaan almari hendak roboh.

Lumrah manusia, makin dilarang makin dibuat - itulah yang berlaku apabila Yayok melanggarkan arahan majikannya dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Safiyaton tentang apa yang dilihatya di dalam bilik tersebut.

Walaupun merupakan saksi penting, pengawai penyiasat Siti Nathiroh Abu Bakar gagal untuk memastikan Yayok yang berstatus 'Pendatang Tanpa Izin (PATI) gagal untuk memastikan dia hadir di mahkamah.

Siti Nathiroh pada keterangannya juga mengakui bahawa satu kertas siasatan telah dibuka terhadap Yayok yang kemudiannya dihukum penjara di Penjara Kajang, dihantar ke depoh tahanan pendatang sebelum diusir pulang menerusi feri di jeti di Johor.

Menyedari kehadiran Yayok adalah penting, Siti Nathiroh kemudiannya mengambil langkah-langkah sepatutnya iaitu menbuat iklan di surat khabar.

Penulis hanya terfikir, bagaimana seseorang yang sudah berada di Indonesia boleh membaca surat khabar yang diterbitkan, dicetak dan dijual di Malaysia?

Sudah pastilah untuk mencari Yayok di negara yang dihuni oleh berjuta-juta penduduk tersebut ibarat mencari jarum di dalam jerami.

Ketidakhadiran Yayok ini menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Mohtarudin Baki melepas dan membebaskan Mohafri daripada pertuduhan tersebut atas alasan berlaku kelompangan di dalam kes pendakwaan.

Ada cakap-cakap yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, tetapi apa yang dapat dibuktikan jika saksi penting yang berada di tempat kejadian sewaktu jenayah tersebut didakwa dilakukan tiada?

Itu adalah rezeki untuk Mohafri yang berhasrat untuk memulakan kehidupan baru bersama dua anaknya, Norin Irdina, 9, dan Maryam Ardiana, 7.

Bagaimanapun, pembebasan tersebut mungkin belum mukatamad kerana pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Apa yang diharapkan agar tiada lagi kesilapan-kesilapan teknikal seperti ini berlaku bagi memastikan keadilan kepada pihak-pihak terutamanya kepada mangsa.

Artikel Sebelum

YDP Sabah Kini Bergelar 'Tun'

Artikel Berikut

Artikel Lain