YDP Sabah Kini Bergelar 'Tun' - Semasa | mStar

YDP Sabah Kini Bergelar 'Tun'

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin, hari ini menerima anugerah bergelar 'Tun' daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Juhar, 57, menerima anugerah tertinggi negara Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N), pada istiadat penganugerahan selepas majlis pelantikan semula Tun Abdul Rahman Abbas sebagai yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Majlis itu dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Juhar, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri yang baru pada 1 Januari lepas, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

Juhar dilahirkan pada 5 November 1953 di Kampung Tambisan, Sandakan dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Wolverhampton Polytechnic, England.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Panglima Norlidah RM Jasni dan dikurniakan dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel