suria

72 Rakyat Malaysia Sedang Ditahan di Penjara China - Anifah

BEIJING: Pada masa kini terdapat 72 rakyat Malaysia yang sedang ditahan di Republik Rakyat China atas kesalahan mengedar dadah dan juga penyeludupan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya, 40 daripada kes tersebut berlaku di Guangzhou (33 telah dijatuhi hukuman penjara manakala tujuh lagi masih menunggu penyiasatan selesai) sementara 18 lagi kes berlaku di Hong Kong (13 telah dijatuhi hukuman) dan di Shanghai pula terdapat 10 kes (sembilan telah dijatuhi hukuman) manakala tiga kes lagi di Macau (seorang telah dijatuhi hukuman).

Bercakap kepada pemberita di sini, Anifah menambah, kerajaan perlu melihat punca-punca jenayah ini berlaku dan mengenalpasti cara-cara untuk mengatasinya.

"Lebih-lebih lagi di Guangzhou yang mana jumlah pelaku jenayah ini sangat tinggi. Kita perlu mencari punca dan jawapannya mengapa,’’ kata Anifah, yang telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Yang Jiechi.

Anifah berkata, sementara Malaysia akan berusaha untuk menjaga kebajikan rakyatnya yang terlibat, Malaysia akan tetap menghormati undang-undang sebuah negara berdaulat.

Beliau turut mengenalpasti 'cinta' sebagai salah satu punca rakyat Malaysia dipergunakan dalam kes-kes pengedaran dadah dan sebagainya di China tetapi turut menyatakan beberapa punca lain seperti faktor kewangan dan juga bagasi yang dipergunakan oleh sindiket untuk memperdayakan rakyat Malaysia.

“Namun begitu, kita masih perlu mencari sebabnya mengapa sebahagian daripada wanita kita diperdayakan untuk menjadi keldai dadah tetapi pada masa yang sama, saya mesti tegaskan di sini bahawa selain Malaysia, terdapat juga warga negara lain yang turut terlibat. Isu dadah adalah isu antarabangsa," ujarnya.

Berhubung pertemuannya dengan Yang, Anifah berkata, ia adalah bagi membincangkan persiapan lawatan rasmi Perdana Menteri China, Wen Jiabao ke Malaysia pada 27 dan 28 April ini.

Artikel Sebelum

YDP Sabah Kini Bergelar 'Tun'

Artikel Berikut

Artikel Lain