suria

Pengarah SPRM N.Sembilan Terima Ugutan Ketika Hadir Prosiding Suruhanjaya

KUALA LUMPUR: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Hishamuddin Hashim memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock bahawa beliau ada menerima ugutan daripada seorang lelaki ketika menghadiri prosiding suruhanjaya itu, dua hari lalu.

Hishamuddin berkata ugutan itu diterima ketika beliau ingin masuk ke bilik saksi bagi memberi keterangan pada hari berkenaan, 2 April lepas.

Beliau berkata lelaki yang tidak dikenali itu pada awalnya dilihat berbincang bersama dua orang peguam dari Majlis Peguam di bahagian koridor di luar bilik mahkamah di tingkat tiga di mana berlangsungnya prosiding suruhanjaya itu.

"Sebelum saya masuk ke dalam bilik saksi, saya terdengar lelaki itu menjerit nama saya dan menyatakan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada saya.

"Saya merasakan ia adalah satu ancaman terhadap saya," katanya.

Isu itu timbul selepas peguam Christopher Leong dari Majlis Peguam mengemukakan pertanyaan sama ada Hishamuddin pernah membuat laporan polis berhubung apa jua keadaan yang berlaku ketika memberi keterangan pada suruhanjaya tersebut.

Hishamuddin menjelaskan beliau ada membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima daripada lelaki berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Penjelasan daripada Hishamuddin turut disokong oleh pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

"Laporan polis sudah dibuat dan saya rasa biar pihak polis yang menjalankan siasatan berhubung perkara itu," kata Foong.

Hishamuddin juga disoal Foong apakah tindakan yang akan dilakukan sekiranya terdapat pegawai SPRM menyalahgunakan internet dengan mengakses laman pornografi di pejabat SPRM?

Hishamuddin berkata:"Saya akan memaklumkan kepada pejabat Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) untuk menyekat penggunaan internet dan mereka (pegawai SPRM) tidak dibenarkan untuk mengakses internet kecuali laman web SPRM," katanya.

Saksi ke-26 itu, yang merupakan bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor, berkata selain menyekat penggunaan internet, beliau akan menegur pegawai di bawah seliaannya sekiranya mendapati mereka mengakses laman pornografi di pejabat.

Pada minggu lepas, suruhanjaya mendedahkan pegawai SPRM iaitu Mohd Ashraf Mohd Yunus dan Raymond Nion Anak John Timban telah menghabiskan masa dengan mencari dan menonton filem pornografi di dalam bilik pejabat mereka.

Maklumat itu diperoleh penyiasat bebas yang dilantik suruhanjaya, Michael Leslie Squires, yang telah memeriksa komputer dari semua pegawai SPRM.

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka. Prosiding bersambung petang ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain