suria

363 Pelajar Cemerlang SPM Bakal Dapat Biasiswa

ALOR SETAR: Seramai 363 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan A penuh (A+) dalam semua mata pelajaran bakal memperoleh biasiswa daripada kerajaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya beliau yakin mereka yang tidak berpeluang untuk mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam akan diberikan biasiswa lain seperti biasiswa 1Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

"Selain itu mereka juga berpeluang dapat biasiswa daripada agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Bank Negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma, di sini, Ahad.

Pada majlis sama Mohd Puad turut menyampaikan bantuan wang ehsan RM22,600 kepada 113 pelajar berkenaan yang terbabit dengan bencana banjir November tahun lalu.

Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah mula mengagih bantuan RM6.4 juta kepada pelajar dan sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir besar di Kedah baru-baru ini.

"RM2.4 juta wang ehsan diberikan kepada 10,329 pelajar terlibat banjir di Kedah, iaitu RM200 setiap seorang; dan RM4 juta lagi diberikan kepada sekolah-sekolah yang pelbagai peralatan dan bangunannya rosak akibat banjir, agar ia dapat dibaik pulih, demi keselesaan pelajar dan guru," katanya.

Beliau berkata bantuan itu diserahkan kepada Jabatan Pelajaran (JPN) Kedah untuk diagihkan secepat mungkin kepada pelajar dan sekolah terlibat.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain