suria

Zed Zaidi tak perlu nak mengamuk

Zed Zaidi
Zed Zaidi
Zed Zaidi

PELAKON Zed Zaidi mengamuk. Sebabnya pada Mesyuarat Agung Tahunan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada 26 Mac lalu tak ada artis muda yang hadir.

Kata Zed Zaidi daripada 1,000 artis muda yang berdaftar dengan Seniman, hanya dia dan Jehan Miskin sahaja yang nampak batang hidung.

Artis muda lain tak nampak bayang pun. Yang ramai hanyalah artis-artis veteran. Saya cuma nak minta kepada Zed Zaidi supaya jangan mengamuk dan bawa-bawalah bertenang.

Kalau Zed Zadi amuk satu Kuala Lumpur pun, tak akan ada artis yang hirau pun.

Artis di negara kita memang macam tu. Mereka dah malas nak sertai persatuan artis. Kata mereka persatuan tak boleh buat apa-apa pun. Yang penting mereka boleh cari rezeki. Persatuan ni buang masa. Itu kata merekalah.

Bagi saya, mentaliti persatuan tak boleh buat apa-apa kenalah dibuang jauh-jauh. Sebab itulah mereka kena datang dalam mesyuarat persatuan jika mereka mahu ada “apa-apa”.

Ini tidak, bercakap saja banyak tetapi habuk pun tarak. Menyertai persatuan ialah satu masalah besar kerana artis kita terlalu mengejar wang. Saya faham mereka perlu kerja kuat untuk dapat duit tapi mereka perlu peruntukan masa untuk aktiviti berpersatuan kerana dari situlah banyak idea dan pendapat boleh dikongsi.

Kalau ramai artis yang macam Zed Zaidi dan Jehan Miskin, saya percaya, artis kita semua akan jadi bijak.

Cuma apa yang perlu dengan adanya persatuan, hidup artis juga hendaklah terbela. Bukan apa, selama ini bayaran kepada artis masih lagi tidak setimpal. Perkara-perkara yang tak selesai berkaitan dengan dunia artis, persatuan kena selesaikan.

Mungkin jika persatuan boleh buat macam itu, lagi ramai artis akan percaya dengan persatuan.

NIEZAM: Persatuan bujang terlajak.

Gambit harus belajar susah jadi artis

SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada pelakon kacak dan sedang meletup dengan kisah kontroversinya, Gambit Saifullah kerana berjaya menjadi artis.

Tidak semua orang dalam dunia ini senang-senang boleh jadi artis. Ada yang masuk kelas vokal, ada yang masuk kelas lakonan, kelas menari dan macam-macam kelas untuk bergelar selebriti tetapi selepas itu ramai yang balik kampung tanam jagung.

Gambit pada mata saya antara individu yang bertuah kerana dia popular dengan cepat disebabkan raut wajah yang dimilikinya. Orang kacak macam Gambit memang senang dapat perhatian dalam dunia lakonan.

Saya pernah berselisih bahu dengan Gambit dan pernah juga bertegur sapa dengannya. Saya tak mahu orang kata saya ni wartawan yang sombong hanya nak tegur artis popular kelas satu sahaja. Kalau ada artis kelas Z sekali pun saya akan tegur.

Dan saya juga tak kisah selepas itu artis yang saya tegur buat-buat tak tahu atau buat-buat tak nampak kerana saya percaya, sekali kita menegur orang belum tentu esoknya dia akan ingat pada kita seperti mana yang saya alami dengan Gambit.

Saya membaca beberapa kontroversi mengenai Gambit sejak kebelakangan ini. Dia dikatakan sombong, tak bertegur orang dan tak pandai buat PR (hubungan baik).

Dalam satu kenyataan, Gambit mengeluh. Kata dia, takkan dia nak buat PR 24 jam dengan orang?

Malah kata Gambit lagi sebagai artis baru dia tak kenal ramai orang dan nak menegur orang pun bergantung kepada mood dia.

Membaca kenyataan Gambit itu saya geleng kepala sampai nak tercabut urat. Saya bertanya ada juga artis yang macam ini?

Kalau saya jadi Gambit, saya tak akan memberi komen seperti itu kerana ia menunjukkan kelemahan saya sendiri.

Untuk makluman Gambit, menjadi seorang artis baru seperti kita menanam pokok bunga. Sementara menanti pokok itu keluar bunga, kita kena bubuh baja dan jaga betul-betul. Apabila dah berbunga, barulah boleh dipetik bunga itu.

Saya juga terkejut apabila Gambit berkata dia bosan apabila orang asyik bertanyakan dia soalan yang remah iaitu adakah dia gay?

Sekali lagi saya nak jelaskan kepada Gmabit, apabila menjadi artis kita kena bersedia dengan macam-macam perkara yang tidak dijangka. Seorang penyanyi pentas kena bersedia dikapur promoter atau dibaling telur busuk.

Ia adalah sebahagian daripada asam garam dunia artis. Menjadi pelakon yang kacak macam Gambit akan berhadapan dengan macam-macam ujian lebih hebat.

Soalan yang pelik-pelik akan ditanya kepada dia. Semua itu dia kena hadapi. Apa yang harus Gambit belajar ialah bagaimana hendak menjawab soalan agar dia nampak bijak.

Jadi, jika ada orang bertanyakan soalan remeh, adakah dia gay, jawab sajalah bukan kalau dia benar-benar bukan gay. Susah sangat hendak menjawab soalan itu?

Saya pernah terkena apabila ada artis mempersoalkan saya bertanyakan kisah cintanya. Kata artis itu kenapa asyik tanya kisah cinta, tanya saja fasal lain. Saya jawab satu saja, jika saya tanya soalan yang ilmiah, belum tentu dia dapat menjawabnya kerana artis negara kita kebanyakannya malas membaca.

Mereka hanya suka membaca kisah mereka sendiri yang keluar di akhbar.

Nasihat saya sebagai artis baru macam Gambit jangan terlalu banyak “komplen”. Sebagai artis baru Gambit kena kerja kuat.

Kalau perlu buat PR 100 jam sekali pun, buatlah. Kalau dari awal sudah merungut itu dan ini, saya percaya, Gambit tak boleh pergi jauh. Mulai hari ini, Gambit kena belajar bukan mudah nak jadi artis.

NIEZAM: Bukan senang jadi wartawan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain