suria

Virus Adeno Di Pusasda Mungkin Menular Dari Pulapol

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak andaian virus Adeno, yang merebak di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson, Negeri Sembilan menular dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau berkata virus itu berkemungkinan menular menerusi pegawai Pulapol yang mengunjungi Pusasda di Telok Kemang, Negeri Sembilan.

"Pegawai dari Pulapol tidak berkomunikasi dengan pelatih di Pusasda namun kuman-kuman virus mungkin mengikut sama melalui badan atau pakaian dan menyebarkannya," katanya pada sidang berita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Kementah di sini, Selasa.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan masih berusaha mengesan individu yang dipercayai membawa virus itu ke Pusasda.

Ahmad Zahid berkata beberapa langkah segera telah diambil untuk mencegah penularan virus itu termasuk memasang pita kuning di kawasan pelatih serta menempatkan seorang pakar perubatan dan tiga pegawai perubatan dari Hospital Tentera Tuanku Mizan di sini untuk memantau keadaan Pusasda setiap hari.

Ahmad Zahid berkata sehingga semalam, seramai enam perajurit muda diasingkan dan ditempatkan di sebuah blok khas kerana mempunyai suhu badan melebihi 38 darjah celcius.

"Mereka hanya disyaki (menghidap virus adeno)...oleh itu, diharapkan dengan pengambilan air suam sebanyak empat liter sehari dapat menyegerakan penurunan suhu badan," katanya.

Selain itu, beliau berkata 20 pelatih polis termasuk enam daripadanya dipercayai menghidapi Influenza A (H1N1) dimasukkan ke Hospital Port Dickson dan Hospital Seremban.

Pusasda kini melatih 1,000 pelatih polis dan 2,138 perajurit muda di bawah program latihan bersama Strategi Samudera Biru. - BERNAMA

Artikel Lain