suria

AMK Fail Tuduhan Zina Terhadap Trio 'Datuk T'

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Isnin memfailkan aduan qazaf (tuduhan zina) terhadap trio "Datuk T" kerana menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat perbuatan zina melalui pendedahan rakaman video seks 21 Mac lalu.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata aduan qazaf itu dibuat terhadap bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Video klip berkenaan telah menggemparkan negara apabila trio Datuk T itu bertindak menayangkan rakaman tersebut kepada media.

Selain Shamsul Iskandar turut memfailkan aduan qazaf terhadap trio tersebut adalah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan Mohd Hamdi Mohd Syed di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Ketiga-tiga trio ini telah menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan berzina melalui rakaman video seks.

"Dalam undang-undang syariah, dalam tuduhan zina kalau tiada empat saksi kita boleh lakukan prosiding qazaf," kata Shamsul Iskandar selepas membuat aduan tersebut di pejabat Jawi di sinin Isnin.

Menurutnya, laporan tersebut telah diterima Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jawi, Siti Nor Jihan Saleh.

Shamsul Iskandar berkata beliau telah memberikan maklumat dan dokumen termasuk keratan akhbar yang berkaitan dengan pengakuan Datuk T dalam pendedahan rakaman video seks berkenaan.

"Saya dah berikan maklumat dan aduan... saya juga memberikan dokumen termasuk keratan akhbar di mana Abdul Rahim mengakui beliau terlibat dalam pendedahan rakaman video seks itu.

"Kita akan ikut saluran undang-undang, jika ada peruntukan maka kita akan ikut, namun sehingga hari ini masih tidak sebarang tindakan terhadap Datuk T," katanya.

Tambahnya, beliau akan dipanggil sekali lagi pada 18 April ini untuk memberikan keterangan lanjut mengenai perkara berkenaan.

"Saya akan beri kerjasama sekiranya dipanggil," ujarnya.

Beliau turut meminta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Datuk T.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain