suria

Pilihan Raya DUN Sarawak: BN Pertimbang 8 Nama Untuk DUN Kedup

SERIAN: Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan lapan nama yang menawarkan diri untuk bertanding mewakili parti itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup pada pilihan raya Sarawak yang akan diadakan pada 16 April depan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Anak Jaem berkata, bagaimanapun senarai berkenaan akan ditentukan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Tun Najib Razak.

"Sehingga kini siapa yang akan bertanding di DUN Kedup belum ditentukan lagi, cuma lapan orang sudah menunjukkan minat untuk bertanding di kawasan itu bagi mempertahankan kerusi BN.

"Malah kita menjangkakan kerusi berkenaan juga bakal disaingi calon Bebas yang dikatakan turut berminat untuk bertanding di kerusi terbabit, walau siapa bertanding paling penting adalah memenangkan calon BN," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian surat hak milik tanah kepada peserta Lembaga Penyetuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di sini, Jumaat.

Difahamkan penyandang kerusi berkenaan, Frederick Bayoi Manggie yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada muka baru untuk bertanding.

Desas-desus juga kuat mengatakan bahawa Ketua Cawangan PBB Kedup, Maclaine Ben @ Martin Ben anak Michael Ben bakal mengisi kekosongan kerusi yang akan ditinggalkan Bayoi.

Pada pilihan raya 2006, Bayoi menang dengan majoriti 1,981 undi.

Beliau memperoleh 5,635 undi menewaskan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Prof Dr Razali Bolhi yang mendapat 3,654 undi.

Artikel Lain