suria

Awas Peniaga! Akta Baru Kawal Harga Melampau Kini Berkuatkuasa...

KUALA LUMPUR: Akta baru yang dinamakan Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2010 yang memberi kuasa kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengheret peniaga yang menaikkan harga barangan atau makanan secara sembarangan ke mahkamah akan mula berkuatkuasa mulai Jumaat 1 April.

Di bawah akta ini, individu/peniaga yang didapati mengenakan harga yang ditafsirkan sebagai ‘melampau’ ke atas pengguna boleh dicaj di mahkamah dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga maksima RM100,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika disabitkan bagi kesalahan kedua pula, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksima sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberi taklimat mengenai isu bekalan dan harga barangan kepada pengarang-pengarang kanan media tempatan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Plaza Sentral di sini, Khamis berkata, bagi mana-mana syarikat pula, jika didapati bersalah di bawah akta baru ini boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 bagi kesalahan kali pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kali kedua.

Menurut beliau, sebuah majlis di bawah kementeriannya yang dinamakan Majlis Penasihat Harga (MPH) dan diketuai oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom akan bertanggungjawab memantau dan mengendalikan kes-kes di bawah akta ini.

MPH turut dianggotai oleh wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan, wakil daripada ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan-dewan perniagaan.

Katanya lagi, akta baru ini diwujudkan bagi mengantikan Akta Kawalan Harga 1946 yang dahulunya memerlukan barang-barang yang dikawal harga digazetkan terlebih dahulu sebelum tindakan dapat diambil ke atas mereka yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Tetapi kini dengan wujudnya akta baru ini, kita tidak perlu lagi menunggu sesuatu barangan itu digazetkan terlebih dahulu sebagai barangan kawalan untuk kita mengambil tindakan,” ujarnya.

Jelas Ismail Sabri, seramai 1,200 pegawai penguatkuasa di bawah kementeriannya akan ditugaskan memantau aduan dan membuat pemeriksaan harga melampau dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengenakan caj yang diluar harga munasabah ke atas pengguna.

Beliau berkata, para pengguna juga boleh membuat aduan kepada kementerian menerusi talian 1-800-886-800.

Di bawah akta yang lama, mana-mana individu yang didapati bersalah menaikkan harga di atas para munasabah atau dibenarkan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua pula boleh dikenakan denda sehingga maksimum RM25,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Untuk syarikat pula, mereka boleh dikenakan dengan bagi kesalahan pertama sehingga maksimum RM25,000 dan RM50,000 bagi kesalahan kali kedua.

Diminta memberi contoh apa yang dimaksudkan sebagai “harga melampau”, Ismail Sabri menjelaskan, seandainya seorang peniaga menggenakan caj minuman ais kosong sehingga RM1.20 atau RM1.00 segelas kepada pengguna sedangkan kosnya tidak sampai tahap itu, mereka boleh dikenakan caj atau didakwa di mahkamah di bawah akta ini sekiranya terdapat aduan daripada pengguna dan hasil siasatan mendapati aduan itu benar.

Artikel Berikut

Artikel Lain