Awas! Artis Jadi Sasaran Sindiket Menipu

SAYA mendapat satu kiriman mesej menerusi facebook Jumaat lalu daripada seorang artis nasyid popular.

Artis itu meminta saya menyiarkan pengalamannya yang hampir-hampir menjadi mangsa penipuan menerusi rangkaian facebook daripada seseorang yang tak dikenali.

Apa yang nak dijelaskan ialah bagaimana pencuri dan penyamun sekarang ini bijak menggunakan kemajuan teknologi untuk memperdayakan orang.

Kata artis tersebut dia dihubungi menerusi facebook oleh seorang gadis yang mendakwa berasal dari Sabah dan sekarang menetap di United Kingdom (UK).

Gadis itu juga mendakwa sudah kematian ayah tetapi mempunyai harta yang banyak hasil peninggalan ayahnya itu.

Dia bercadang membeli beberapa buah rumah apabila pulang ke tanah air dalam waktu terdekat dan meminta artis berkenaan menjadi sahabatnya.

Kata artis nasyid itu, dia terus melayan dengan membalas mesej daripada gadis berkenaan sehinggalah lama-kelamaan si gadis telah meluahkan rasa cinta serta berhasrat untuk berkahwin dengannya.

Malah gadis itu juga bercadang untuk berkongsi kekayaan bersama sekiranya mereka menjadi suami isteri. Dia juga meminta si artis bersikap jujur dengan tidak mempermainkan perasaannya yang terpendam itu.

“Dalam tempoh dua minggu dia kenal saya melalui facebook, kenapa perlu dia hendak ajak saya kahwin? Saya dah rasa pelik dan macam ada sesuatu yang tak kena,” kata artis itu kepada saya.

Dia terus melayan mesej daripada gadis berkenaan sehinggalah gadis itu berhasrat memberi satu hadiah yang akan dikirimkan dari UK secepat mungkin selepas meminta alamat artis tersebut.

Tidak lama kemudian gadis berkenaan menghubungi si artis lalu memberitahu satu bungkusan hadiah sudah dihantar melalui sebuah syarikat penghantaran dengan memberikan nombor kiriman hadiah itu.

Kata artis itu lagi, selepas disemak melalui Internet dengan melayari laman web syarikat penghantaran itu, memang terdapat satu hadiah berdasarkan kepada nombor siri barangan seperti yang diberitahu.

Sehinggalah tidak lama selepas itu, seorang individu yang mendakwa daripada syarikat penghantaran menghubungi artis tersebut memaklumkan hadiah daripada UK seberat 20 kilogram sudah sampai dan boleh diambil di KLIA.

Bagaimanapun individu itu meminta artis nasyid tersebut memasukkan RM2,500 kerana barangan berkenaan melebihi berat yang sepatutnya.

Kata artis itu, dia bernasib baik kerana semasa kejadian, rakannya memberitahu pernah menerima mesej serupa dengan modus operandi yang sama. Kalau tidak, artis itu sudah tentu akan masuk perangkap penipuan sindiket tersebut.

Menurut si artis lagi, beberapa rakan artis lain turut menerima mesej serupa. Jadi kepada orang ramai dan semua rakan artis, hati-hatilah apabila mendapat mesej daripada orang yang tidak dikenali.

Saya mengucapkan terima kasih kepada artis nasyid tersebut yang mahu berkongsi pengalamannya supaya tidak terkena kepada orang lain termasuklah pembaca.

NIEZAM: Sedang berhati hati. Takut terkena lagi.

Syarikat produksi masih kelam kabut

Saya membaca kenyataan pelakon Ezany Nizariff dalam mStar Online minggu lalu yang melahirkan rasa kecewa dengan sesetengah syarikat produksi yang gagal menyusun jadual dengan baik.

Ezany memberi komen tersebut selepas keluar berita kononnya dia menabur pasir pada periuk nasi sendiri apabila tidak muncul di lokasi penggambaran sebuah drama.

Kata Ezany, penyusunan jadual penggambaran syarikat produksi berkenaan tidak dibuat dengan betul sehingga berlaku pertindihan lakonannya dengan produksi lain.

Ada seorang pengarah mempersoalkan kepada saya perbuatan Ezany itu. Katanya, artis di Malaysia memang tamak kerana dalam satu minggu boleh terlibat dengan tiga buah drama syarikat berbeza serentak.

Sebenarnya artis di Malaysia bukannya kaya raya pun. Ada yang hidup kais pagi makan pagi. Tawaran berlakon tak pernah naik. Artis mana yang ambil tawaran murah, artis itulah yang dapat banyak “job”.

Kerana masalah itulah pelakon-pelakon kita terpaksa berebut semua peluang yang ada dalam satu-satu masa.

Dalam kes yang dialami oleh Ezany ini, syarikat produksi pun kena melihat kelemahan masing-Masing.

Penggambaran yang dibuat jarang menepati masa. Sepatutnya penggambaran boleh siap seminggu, terpaksa dilanjutkan sampai 12 hari.

Dah siap penggambaran pula, terpaksa dibuat balik sebab ada syot-syot yang tak betul. Kalau syarikat produksi buat kerja ikut tepat pada masa, masalah jadual artis tidak akan berlaku kerana pelakon tentu sekali tahu menyusun kerja mereka dengan baik.

Pelakon kita perlukan duit untuk bayar sewa rumah, itu dan ini. Mereka kena kerja kuat tapi masalah mereka selalunya tidak diambil peduli oleh syarikat-syarikat produksi.

Ada pula pada saat-saat akhir masih tak tahu lokasi untuk dibuat penggambaran. Lepas tu pula, artis tidak diberi jadual dengan betul selain masalah skrip yang masih tak siap-siap walaupun penggambaran sudah hendak bermula.

Kepada penerbit-penerbit filem atau drama kenalah tegas soal penyusunan jadual supaya masalah-masalah lain tidak timbul yang akhirnya memburukkan nama pelakon itu sendiri.

Saya bukan hendak membela pelakon tetapi saya faham benar senario pelakon di negara kita yang terpaksa berebut “job” sana sini untuk menyara hidup.

NIEZAM: Tak kuasa nak rebut-rebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain