suria

Anggota Bomba Dihantar Ke Jepun Berpengalaman Dalam Pelbagai Bidang

KUALA LUMPUR: Anggota bomba dan penyelamat yang dihantar ke Jepun untuk misi menyelamat mangsa gempa bumi dan tsunami adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata sebanyak 15 anggota jabatannya yang terlatih dihantar ke sana.

"Anggota yang telah kita pilih untuk membantu di sana adalah mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing, mereka adalah daripada Unit Bahan-bahan Berbahaya (HAZMAT), Unit Pengesan, Unit Struktur Runtuh dan lain-lain lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata berkata pihaknya bagaimanapun tidak menghantar sebarang anjing pengesan milik jabatannya ke sana.

Sementara itu Penolong Ketua Pengarah Bahagian JBPM Datuk Soiman Jahid berkata pemilihan anggota bomba yang dihantar ke Jepun adalah dibuat berdasarkan kesan insiden bencana yang berlaku di sana.

Menurutnya kebanyakan mereka yang ke Jepun itu pernah menghadapi misi menyelamat dan bencana yang berlaku di luar negara sebelum ini seperti di Indonesia dan Filipina. -BERNAMA

Artikel Lain