suria

PRK Merlimau: Roslan Azam Kotakan Janji

JASIN: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad yang baru memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Merlimau.

Roslan, 44, yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin berkata, beliau akan berkhidmat untuk rakyat di kawasan itu khususnya dan Melaka amnya.

"Saya akan menunaikan janji-janji sebelum ini selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dengan wawasan menjadikan DUN Merlimau maju," katanya selepas diumumkan sebagai wakil rakyat bagi DUN berkenaan di sini, Ahad malam.

Roslan berjaya memperoleh sebanyak 5,962 undi sementara calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38, sekadar menerima 2,319 undi.

Pada PRU 2008 BN hanya memperoleh majoriti sebanyak 2,154 undi.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Sidang DUN yang akan bermula esok.

Turut hadir menyambut kemenangan berkenaan ialah termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohd Ali yang juga Pengarah PRK BN dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Roslan, Zalifah Omar.

Sebaik keputusan diumumkan, Roslan yang memakai kemeja belang biru, berseluar hitam dan bersongkok, dijulang oleh para penyokongnya dengan sorakan “Hidup BN”, “1Malaysia”, dan “Merlimau DUN Ku Sayang”

Dalam pada itu, Roslan memberitahu, beliau dan jentera parti tidak menjangkakan akan dipilih dengan majoriti lebih besar.

Bagaimanapun, berdasarkan respon daripada pengundi sepanjang berkempen selama lapan hari menunjukkan tanda-tanda positif. "Nak kata jangka tapi daripada respon yang sepanjang kempen kita dapat rasa momentum sokongan bertambah daripada pengundi," ujarnya.

Artikel Lain