suria

KPDNKK Johor Rampas Pakaian, Kasut Tiruan Bernilai RM100,000

JOHOR BAHARU: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor merampas pakaian dan kasut tiruan berjenama bernilai RM100,000 dalam serbuan di dua premis perniagaan dan stor di kawasan Pandan City, di sini, awal hari Rabu.

Timbalan Pengarahnya Abdul Hamid Abu Bakar berkata serbuan oleh 15 anggota penguatkuasa mulai 7.30 malam sehingga 3 pagi tadi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pemilik jenama berkenaan.

"Dianggarkan sebanyak 10,000 barangan dirampas di premis berkenaan yang melibatkan jenama Adidas, Nike dan Crocs," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Abdul Hamid berkata kesemua barangan itu dipercayai dibawa masuk dari China untuk diedarkan di pasar malam, pasar borong dan kedai kecil yang menjual barangan tiruan di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 20-an dan 30-an untuk siasatan lanjut.

Kesemua barangan itu disita mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika disabit kesalahan pemilik premis itu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain