suria

Sistem Pengangkutan Awam Lebih Bersepadu Dalam Tempoh Setahun - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur dapat disepadukan dalam tempoh setahun berdasarkan pelbagai penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan.

Beliau berkata sejak langkah memperbaiki sistem pengangkutan awam dimulakan tahun lepas, termasuk menambah bilangan bas dan rel, telah meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Malah kadar penggunaan sistem pengangkutan awam tahun lepas meningkat 17 peratus, iaitu melebihi sasaran 15 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan, dan daripada segi kadar penumpang, perkhidmatan bas pada waktu puncak telah mencatat peningkatan daripada 139,500 penumpang pada 2009 kepada 150,000 tahun lepas.

Sementara pengguna perkhidmatan rel termasuk transit aliran ringan (LRT) dan komuter pada waktu puncak berjumlah 504,000 pada tahun lepas dan jumlah keseluruhan pengguna pada tahun lepas ialah 2.4 juta orang, katanya kepada pemberita selepas meninjau sendiri sistem pengangkutan awam di ibu kota, pada Sabtu.

Muhyiddin yang diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha memulakan tinjauan mesranya menaiki bas RapidKL dari Menara UOA Jalan Semantan pada pukul 10 pagi ke KL Sentral untuk menaiki LRT Putra ke stesen Masjid Jamek, dan kemudian menukar ke LRT Star untuk mengakhiri tinjauan di Stesen Bandaraya.

Muhyiddin berkata untuk tahun ini kerajaan mensasarkan kadar penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi bagi mencapai sasaran di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mencatatkan kadar penggunaan pengangkutan awam mencapai tahap 25 peratus pada 2012.

"Adalah penting bagi pelanggan dan pengguna untuk mendapat semua kemudahan dan untuk itu semua sistem mesti diintegrasikan. Dalam lawatan tadi, saya lihat telah ada usaha dibuat untuk menyambung dari satu stesen ke satu stesen dengan pengguna tidak payah keluar (daripada stesen) yang boleh menyebabkan masalah kepada pengguna," katanya.

Sempena lawatannya, Muhyiddin yang turut diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Shahril Mohkhtar dan Pengarah Kumpulan Bahagian Bas Prasarana Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh perkhidmatan bas awam, khususnya bagi golongan kelainan upaya.

Santai berbaju kemeja merah jambu samar, Muhyiddin turut membantu pengguna kerusi roda, Anthony Arokiah dan pengguna buta, Fairuz Abdullah untuk menggunakan perkhidmatan bas awam.

"Lawatan ini memberi saya peluang melihat sendiri sistem pengangkutan awam yang menjadi perkara amat penting dalam NKRA dan Greater KL. Berdasarkan pengalaman naik bas hari ini saya boleh kata sistem cukup baik.

"Namun masih ada ruang untuk penambahbaikan, antaranya walaupun ramai pengguna kadar (tiket) adalah munasabah, tetapi saya harap jika jumlah pengguna telah meningkat, syarikat boleh memikirkan untuk kurangkan harga seperti yang dilaksanakan misalnya di beberapa kota raya seperti di London, Melbourne dan Sydney," katanya.

Berdasarkan maklum balas pengguna yang ditanya ketika sesi lawatan itu, Muhyiddin berkata, rata-rata menyuarakan agar sistem pengangkutan awam di ibu kota dapat diintegrasikan secepat mungkin bagi keselesaan pengguna.

Perluasan liputan perkhidmatan LRT dan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) secara besar-besaran di Kuala Lumpur adalah antara inisiatif utama Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya atau "Greater KL" dalam usaha menjadikannya bandar bertaraf dunia yang mempunyai persekitaran memberangsangkan sebagai tempat tinggal, bekerja dan beriadah dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2011 hingga 2015. - BERNAMA

Artikel Lain