suria

7 Rakyat Somalia Didakwa Tembak Pasukan ATM Ketika Rompak Kapal

KUALA LUMPUR: Tujuh rakyat Somalia, yang ditahan tentera Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia di atas MT Bunga Laurel ketika merompak kapal dagang itu.

Mereka ialah Ahmed Othman Jamal, 25, Abdil Eid Hasan, 20, Koore Mohamed Abdile, 18, Abdi Hakim Mohd Abdi, 18, dan tiga lagi yang berusia 15 tahun.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

Pertuduhan itu dibacakan oleh seorang rakyat Somalia yang dilantik pihak pendakwaan sebagai penterjemah iaitu Yaser Mohamad Ahmad, penuntut Universiti Utara Malaysia.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk mendatangkan kematian atau kecederaan di koordinat Latitud 20'14.73N Longitud 083'39.96 E, 250 batu nautika dari perairan Oman, antara 8.10 pagi dan 10 malam, 20 Januari lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas menyerahkan surat perakuan mengikut Seksyen 127A (1) Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan kesemua tertuduh dibawa dan didakwa di mahkamah Malaysia.

Beliau berkata kesalahan itu memberi kesan terhadap keselamatan Malaysia dan mengikut seksyen berkenaan, mereka boleh dibicarakan di negara ini kerana ia dilakukan terhadap warga negara Malaysia.

Siti Shakirah kemudian menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan kes bagi membolehkan pendakwaan mendapatkan jurubahasa bertauliah sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 20 Januari, komando Tentera Laut Diraja Malaysia menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel daripada cengkaman lanun Somalia yang bersenjatakan raifal AK-47 dan pistol.

Misi menyelamat itu diberi nama "Operasi Fajar" dan dijalankan bersama kapal bantuan TUDM, Bunga Mas 5.

Kesemua tertuduh yang berpakaian warna oren kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh dekat sini. - BERNAMA

Artikel Lain