suria

SPR Sedia Pelbagai Kaedah Untuk Pengundi DUN Merlimau Semak Daftar Pemilih

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan pelbagai kaedah semakan maklumat pengundian buat pemilih-pemilih berdaftar di kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, bagi melancarkan urusan mengundi sekiranya pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan nanti.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata ia disediakan bagi memudahkan pemilih membuat semakan maklumat termasuk nama pusat mengundi yang ditetapkan, nombor saluran mengundi dan nombor siri pemilih yang tersenarai dalam Buku Daftar Pemilih bagi tempat di mana seseorang pemilih itu akan mengundi.

Menurutnya semakan dengan pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka boleh dibuat dengan menelefon 06-2324912 atau 06-2324932 antara pukul 8.30 pagi sehingga 10 malam setiap hari mulai Khamis sehingga 5 Mac.

Kaunter semakan daftar pemilih SPR pula dibuka di hadapan premis Bank Simpanan Nasional Merlimau mulai 12 hingga 17 Februari dari pukul 10 pagi sehingga 5.30 petang, dan mulai 18 Februari hingga 5 Mac pula kaunter dibuka di hadapan Global Jaya Sdn Bhd dari pukul 10 pagi sehingga 5.30 petang.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung, dan SPR menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan. - BERNAMA

Artikel Lain