Ops Piramid ATM Tamat - Semasa | mStar

Ops Piramid ATM Tamat

SUBANG: Misi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membawa keluar rakyat dan penuntut Malaysia yang terperangkap di Mesir akibat pergolakan di negara itu dalam Ops Piramid berakhir dengan jayanya apabila kumpulan terakhir yang membabitkan 96 penuntut selamat tiba di tanah air pada Jumaat.

Kesemua mereka bersama 193 orang lagi terdiri daripada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil media dan agensi lain yang terlibat, selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira pukul 3.10 petang dengan menaiki tiga pesawat C-130 TUDM.

Ketibaan mereka yang diterbangkan dari Jeddah, Arab Saudi disambut oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima ATM Jen Tan Sri Azizan Ariffin serta ahli keluarga penuntut terbabit.

"Ops Piramid ATM itu tamat ketika ketiga-tiga pesawat C-130 menghentikan enjinnya, maka telah tamatlah operasi tersebut," kata Ahmad Zahid kepada pemberita.

Katanya ATM sentiasa bersedia untuk digerakkan bagi tujuan yang sama pada bila-bila masa.

Ops Piramid adalah satu misi tajaan kerajaan Malaysia untuk membawa keluar rakyat dan penuntut negara yang terperangkap di Mesir, untuk dibawa ke Jeddah dan kemudian ke Malaysia, ekoran pergolakan di Mesir.

Ahmad Zahid berkata kapal serbaguna Bunga Mas 5 yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TDLM) yang sebelum ini diarahkan untuk membantu mengeluarkan penuntut kembali meneruskan tugas untuk mengiringi kapal Malaysia di Teluk Aden.

"Kerajaan menghantar kapal Bunga Mas 5 untuk bersiap sedia bagi membantu mengeluarkan pelajar jika pesawat tidak mencukupi, namun sekarang kapal telah dilepaskan daripada tugas Ops Piramid dan diarahkan untuk meneruskan operasi di Teluk Aden," katanya.

Beliau berkata penuntut Malaysia yang enggan pulang ke tanah air kini diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memantau situasi di sana.

"Tidak semua pelajar dan rakyat Malaysia di Kaherah mahu dipindahkan ke Jeddah dan ada lebih 3,000 pelajar yang berada di Jeddah, enggan pulang ke tanah air.

"Jika keadaan di sana bertambah buruk, saya yakin MKN mempunyai kaedah tertentu untuk bertindak dalam menyelesaikan itu (para penuntut)," katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan bahawa penerbangan pulang tiga pesawat C-130 Jumaat sepatutnya membawa pulang seramai 100 penuntut namun empat daripada mereka mengambil keputusan untuk tinggal di Jeddah dan mereka akan menggunakan inisiatif sendiri sekiranya ingin pulang.

Beliau berkata ATM melakukan sebanyak 18 penerbangan pergi dan balik dari Kaherah ke Jeddah dengan melibatkan 106 pegawai dan anggota dari TUDM, 33 dari TLDM dan sembilan dari pasukan tentera darat.

Ahmad Zahid berkata beliau berasa amat terguris dengan tuduhan dan cacian pihak-pihak tertentu yang memburuk-burukkan usaha dilakukan ATM dalam Ops Piramid itu.

"Saya berasa tercabar dan terguris apabila anak-anak buah saya di ATM yang telah berkorban masa, jiwa dan tenaga dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat Malaysia, dituduh dengan pelbagai penghinaan.

"Dalam keadaan darurat pasti terdapat kelemahan dan sepatutnya kelemahan itu tidak dijadikan isu terutama oleh parti pembangkang dan penulis-penulis di media maya," katanya.

Beliau berkata ATM berhadapan dengan cabaran yang rumit dalam proses pemindahan penuntut dan rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah sebelum pulang ke Malaysia kerana terpaksa melintasi lapan ruang udara antarabangsa.

Katanya kelulusan diplomatik untuk memasuki ruang angkasa yang sedang bergolak amat sukar dan kekangan birokrasi juga memberi kesan untuk pesawat TUDM daripada segi jangka masa untuk tiba ke kawasan operasi.

"Untuk mendapatkan sokongan perkhidmatan dan pengisian minyak juga menjadi cabaran getir kepada TUDM malah kepada semua pesawat yang terlibat hinggakan terpaksa menunggu sehingga dua jam untuk mendapat giliran mengisi minyak," katanya.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan petugas semua perkhidmatan ATM yang terlibat, Petronas yang membiayai RM2 juta untuk digunakan dalam operasi, kerajaan Mesir dan Arab Saudi yang turut membantu dalam Ops Piramid dan juga Penasihat Pertahanan di Jordan, Kol Adnan Adam yang membantu mengkoordinasikan pentadbiran secara keseluruhan serta MKN.

Sejak Ops Piramid dilancarkan bagi membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air, seramai 7,392 pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap di Mesir dipindahkan ke Jeddah di Arab Saudi dengan menaiki tiga pesawat C-130, bersama lima pesawat komersial iaitu tiga pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan dua pesawat AirAsia.

Seramai 3,482 orang diterbangkan ke Jeddah menggunakan pesawat C-130; 2,150 menggunakan penerbangan Malaysia Airlines dan 1,760 orang oleh AirAsia.

Sehingga kini seramai 4,645 pelajar dan rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air melalui Ops Piramid. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan