suria

Penyelia Pasar DBKL Didakwa Rasuah Penjaja

KUALA LUMPUR: Penyelia pasar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima suapan RM2,000 daripada seorang penjaja untuk mendapatkan petak niaga pasar malam pada Mac 2010.

Azmi Che Hat, 55, didakwa menerima suapan itu daripada Mohd Razip Ali sebagai balasan untuk mendapatkan lima lot petak pasar malam di pekan Sungai Besi dan empat lot petak pasar malam di Desa Tasik Sungai Besi.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat DBKL Pasar Besar pekan Sungai Besi pada 4.05 petang, 23 Mac 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Fadzillah Mohd Ossman mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Azmi, dalam rayuannya, memohon supaya jaminan itu dikurangkan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara empat anak yang masih bersekolah.

Hakim Rozilah Salleh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Feb untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Isteri kepada tertuduh membayar wang jaminan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain