suria

Daun Ketum Dan Ubat Batuk Dirampas Daripada Dua Lelaki Di Langkawi

LANGKAWI: Pasukan Gerakan Marin Langkawi menahan dua lelaki berumur 41 serta 54 tahun dan merampas 20 kg dipercayai serbuk daun ketum serta 432 botol ubat batuk kira-kira 0.9 batu nautika dari Pulau Sigai, di perairan Langkawi semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin Zon Satu Langkawi, Deputi Supritendan (DSP) Salehuddin Mat Zaman berkata rampasan itu dibuat oleh pasukan yang diketuai Insp Anuar Che Ismail bersama empat anggota yang membuat rondaan dan menahan sebuah bot gentian kaca pada pukul 12.15 tengah hari.

"Setelah pemeriksaan dilakukan pihak Marin menjumpai 20 kg dipercayai serbuk daun ketum dalam beg plastik dan 432 botol ubat batuk tanpa dokumen pembelian yang sah," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.

Katanya bot, enjin dan pukat turut dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM14,480.

Kedua-dua lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun.

Barang rampasan dibawa ke markas operasi pasukan itu di pangkalan Bukit Malut di sini untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain