suria

Penjual Taugeh Didakwa Sogok Anggota RELA

KUALA LUMPUR: Seorang penjual taugeh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin, atas tuduhan memberi suapan bernilai RM900 kepada seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), lapan bulan lalu.

Lau Ah May, 41, didakwa memberi suapan itu kepada Ahmad Ramli Mohamed sebagai dorongan untuk melepaskan enam warga India yang bekerja di syarikat milik suami tertuduh, Wong Chee Keong Bean Sprout Trading yang ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada antara pukul 5.45 dan 6 pagi, 27 April lalu di Jalan 6/3A, Off Kilometer 12, Jalan Ipoh, Batu Caves, dekat sini.

Pendakwaan terhadap peniaga di Selayang, dekat sini dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ah May yang tidak diwakili peguam memohon supaya jaminan RM5,000 yang ditawarkan oleh Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Hong Heng Hung dengan seorang penjamin dapat dikurangkan.

"Saya hanya mampu menyediakan jaminan sebanyak RM2,000 dan adik ipar saya yang bekerja sebagai seorang mekanik akan menjamin saya," katanya.

Hakim Datuk Jagjit Singh membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 26 Januari depan untuk lantikan peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain