suria

Bot Terumbang-ambing Sebelum Tiba-tiba Terbalik: Mangsa

Dua anggota Maritim mengangkut beg-beg mangsa bot karam yang ditemui terapung tidak jauh dari tempat kejadian, di Jeti Tanjung Leman, Mersing pada Ahad. fotoBERNAMA

MERSING: Bot kayu yang membawa 29 penumpang dari sebuah kelong di Sibu, Sarawak terumbang-ambing akibat dipukul ombak sejurus sebelum ia terbalik kira-kira 300 meter dari jeti Tanjung Leman di sini.

Perkara itu dinyatakan Lim Tai Wee, 35, salah seorang penumpang yang terselamat dalam insiden pada 1.30 tengah hari dan mengorbankan tiga orang manakala dua lagi masih hilang.

Warga Singapura itu berkata beliau sempat berpaut pada serpihan kayu bot yang pecah, sebelum diselamatkan tidak lama kemudian.

"Cuaca ketika itu agak tidak berapa baik. Apa yang saya ingat, keadaan ketika itu amat kelam-kabut. Bot yang kami naiki terumbang-ambing sebelum ia tiba-tiba terbalik," katanya ketika ditemui di sini, Ahad.

Seorang rakyat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Yap, 19, pula berkata beliau bernasib baik apabila sempat berpaut pada tong ikan sejurus selepas bot itu terbalik.

Katanya, beliau sempat mendengar jeritan meminta tolong, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan laut yang bergelora. Penumpang bot itu terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, 19 warga Singapura dan seorang warga China.

Mereka ke kelong berkenaan pagi semalam dan dalam perjalanan pulang ke jeti Tanjung Leman hari ini ketika bot itu terbalik.

Berikutan kejadian itu, polis kini menahan seorang tekong bot berusia 67 tahun dan pengusaha kelong berumur 58 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain