suria

APMM Tawau Rampas 802 Karton Rokok Seludup

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 802 karton rokok pelbagai jenama dari negara jiran malam Jumaat.

Ketua Penguat kuasa APMM Tawau Komander (Maritim) Amran Daud berkata rokok jenama Surya Gudang Garam, LA International, Premium, Astro Mentol dan Menara Dunia itu dirampas selepas anggotanya berjaya memintas sebuah bot laju dari Sungai Nyamuk, Indoensia kira-kira 9 malam Jumaat.

"Dua orang suspek yang menaiki sebuah bot laju penuh dengan muatan yang disyaki rokok, telah diekori dan cuba ditahan oleh anggota penguat kuasa APMM.

Menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa, suspek telah membuang sebahagian rokok ke laut dalam usaha melepaskan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata dua suspek berumur 20 dan 33 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, namun dipercayai warga Filipina, telah ditahan bagi membantu siasatan.

Turut dirampas sebuah bot laju berkuasa 115 kuasa kuda.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Artikel Lain