suria

LHDN Jangka Laksana Skim Potongan Gaji Terhadap Peminjam PPTN Mulai 1 Jan 2012

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka dapat melaksanakan skim potongan gaji secara automatik terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Januari, 2012.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Hasmah Abdullah berkata pihaknya sedang membuat draf undang-undang, sistem dan operasi dengan PTPTN bagi membolehkannya mengutip pinjaman dengan lebih berkesan.

"Draf yang sedang dikemas kini akan dibawa ke Parlimen selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun depan," katanya pada majlis penutupan Projek Sistem Perakaunan Hasil Berelektronik (eRAS) LHDN di sini hari ini.

Hasmah berkata undang-undang ini penting bagi membolehkan LHDN mengambil tindakan sekiranya peminjam tidak membuat bayaran. Buat masa ini, katanya peminjam masih boleh terus membuat bayaran secara sukarela di LHDN kerana pihaknya adalah salah satu daripada saluran untuk membayar balik pinjaman.

LHDN telah diberi tanggung jawab menjadi ejen kutipan berkenaan bagi mengatasi masalah tunggakan hutang oleh peminjam yang dihadapi PTPTN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain