suria

Pulangkan Wang Pendahuluan Jika Tidak Berminat Terima Pinjaman PTPTN

TEMERLOH: Pelajar yang menerima wang pendahuluan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun tidak berminat untuk menerima pinjaman tersebut boleh memulangkan kembali wang itu, kata Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, wang pendahuluan berjumlah RM1,500 dihantar melalui cek kepada pelajar-pelajar terpilih bertujuan membantu mereka yang pertama kali ditawarkan ke institusi pengajian tinggi dan kurang berkemampuan.

"Jika ada antara mereka yang tidak memerlukan pinjaman itu tetapi menerima wang pendahuluan berkenaan, mereka boleh pulangkan kembali cek tersebut, atau mengabaikan sahaja kerana cek tersebut hanya sah dalam tempoh sebulan," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan terdapat pelajar yang menerima wang pendahuluan berkenaan walaupun tidak pernah membuat permohonan bagi mendapatkan pembiayaan tersebut.

Bagaimanapun katanya, jika pelajar berkenaan memasukkan cek tersebut ke dalam akaun mereka, maka mereka dianggap menerima wang pendahuluan itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain