suria

Perpaduan Kaum Perlu Digalak Dari Peringkat Belia

KUALA LUMPUR: Usaha dan langkah awal perlu diambil untuk memastikan sistem pendidikan di negara ini terus menjurus ke arah perpaduan dan mengelak polarisasi antara kaum terutamanya di kalangan belia.

Anggota Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata dalam mempromosikan integrasi kaum, sekolah dilihat sebagai tempat paling sesuai bagi golongan itu dan guru serta ibu bapa harus memainkan peranan mereka ke arah itu.

"Pelajar hari ini adalah pemimpin masa depan dan di bahu mereka terletaknya tanggungjawab dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dengan satu matlamat dikongsi bersama," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Selain guru dan ibu bapa, beliau berkata sekolah, kolej dan institusi pendidikan swasta juga perlu mengambil usaha untuk mencegah polarisasi kaum di peringkat institusi masing-masing.

Ia juga dapat melalui penerapan nilai-nilai murni dan objektif mulia berkaitan dengan perpaduan sejak peringkat sekolah rendah lagi serta penerapan usaha praktikal yang berkaitan perpaduan dalam setiap aktiviti ko-kurikulum dan sukan mereka.

Selain itu, Lee berkata pengetahuan mengenai Rukun Negara penting dalam mendorong belia memahami Malaysia yang bersatu padu.

Demi masa depan negara, katanya perpaduan dan keharmonian harus menjadi sebahagian daripada budaya yang akan mewujudkan banyak peluang kepada pelbagai kaum untuk berjumpa dan menjalin persahabatan lebih akrab. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain