suria

Pembangkang Tidak Berpaksi Kepada Realiti Kemampuan Sebenar - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelbagai tawaran yang dikemukakan pakatan pembangkang kepada rakyat, tidak berpaksi kepada realiti kemampuan sebenar mereka.

Bagaimanapun, Perdana Menteri enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

"Lain kalilah sebab kita akan beri respons yang terperinci," katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian persefahaman antara Malaysia dan India untuk kerjasama berkaitan perkhidmatan bantuan teknikal bagi pembangunan dan pengurusan lebuh raya di pejabatnya di sini, Selasa.

Najib berkata demikian ketika mengulas mengenai tawaran dalam Program 100 hari yang dikemukakan pakatan pembangkang pada konvensyen mereka yang diadakan di Pulau Pinang, Ahad lepas.

Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain