suria

ICT Platform Terbaik Untuk Wanita Meluaskan Perniagaan - Rosmah

KUALA LUMPUR: Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan platform terbaik untuk kaum wanita dalam merebut peluang perniagaan dengan menggunakan teknologi untuk memasarkan produk mereka, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata kemudahan ICT yang disediakan oleh pihak kerajaan, swasta ataupun badan bukan kerajaan dapat membantu wanita meningkatkan tahap ekonomi mereka dalam memasarkan produk mereka kerana kaum wanita kini adalah penggerak kepada kemajuan negara di dalam bidang ekonomi yang berteraskan teknologi.

"Sehubungan itu, inisiatif penubuhan projek 1Nita dan MyIdeas@Women oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang bertujuan membantu wanita dalam bidang perniagaan dapat merapatkan jurang digital di antara lelaki dan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Karnival 1Nita dan MyIdeas@Women yang berlangsung selama dua hari mulai Selasa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof dan Pengerusi .My Domain Registry, Datuk Noraini Ahmad.

Projek 1Nita adalah hasil inisiatif Mosti dan .My Domain Registry, sebuah agensi di bawah Mosti untuk membantu usahawan wanita dengan menyediakan kemudahan ICT dalam menggalakkan mereka bergiat aktif dalam perniagaan melalui internet secara online.

Lebih 100 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam karnival dua hari itu di mana mereka menjual pelbagai produk seperti makanan, barangan kosmetik dan perhiasan rumah.

Rosmah berkata projek 1Nita dan MyIdeas@Women juga dapat merapatkan jurang antara wanita di bandar dan desa sekaligus membentuk pemikiran inovatif dan kreatif dalam bidang keusahawanan secara maya (online).

Pembabitan wanita dalam dunia ICT dalam memasarkan produk mereka dapat membantu menambah pendapatan keluarga dalam keadaan kos kehidupan yang meningkat sekarang dan ia juga akan mendorong lebih ramai wanita membabitkan diri dalam perniagaan secara online, katanya.

"Perniagaan yang dahulunya dijalankan secara tradisional, kini boleh diperluaskan dengan jaringan perniagaan menerusi laman web yang boleh dipasarkan di dalam negara dan luar negara," katanya.

Sebagai usaha untuk memperhebatkan lagi penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, peruntukan RM30 juta telah disediakan untuk melaksanakan inisiatif baru seperti memperkenalkan program inkubator kemahiran ibu tunggal dan mewujudkan Anugerah Perdana Usahawan dan Aktivitis Wanita bersempena Hari Wanita yang akan bermula pada tahun 2011, katanya.

Rosmah berkata wanita perlu memanfaatkan sains dan teknologi supaya mereka lebih berdaya saing dan tidak terpinggir dalam arus perdana pembangunan dan pada masa yang sama ia perlu digunakan sebagai pemacu utama dalam mempertingkatkan keupayaan wanita sekaligus menggalakkan inovasi dalam golongan itu.

Noraini pula berkata sejak 1Nita dilancarkan pada bulan Mac, 2010, ia telah dikembangkan ke seluruh negara dan berjaya mendapat lebih 1,000 penyertaan untuk projek tersebut.

"Peranan .My Domain Registry adalah untuk memastikan usahawan wanita mewujudkan sebuah laman web dengan menggunakan nama domain - .my, di hujung laman web perniagaan mereka bagi menunjukkan ia adalah laman web dari Malaysia," katanya.

Noraini berkata orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan menerusi projek 1Nita boleh melayari laman web di alamat www.1nita.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain