suria

Program Menengah Tinggi Permata Pintar Bermula Januari

BANGI: Program Menengah Tinggi Permata Pintar, iaitu program istimewa bagi pelajar pintar cerdas di Tingkatan 4 akan bermula Januari ini, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri itu berkata program yang diletakkan di bawah pengurusan Pusat Permata Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu akan menawarkan kurikulum yang merangkumi beberapa komponen penilaian termasuk akademik, folio, aktiviti kokurikulum dan pembinaan jati diri.

Semua persediaan termasuk infrastuktur, penyediaan kurikulum dan latihan guru hampir selesai, katanya pada majlis penutup Program Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar Negara 2010, di UKM di sini Jumaat.

Beliau yang merupakan penaung Program Permata Pintar Negara berkata selain mengikuti kurikulum arus perdana di Peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar juga akan ditawarkan kurikulum antarabangsa termasuk SAT, O dan A Level, kursus 'Advance Placement' dan beberapa kursus Tahun Satu Fakulti Sains dan Teknologi.

"Pelajar juga dikehendaki mengambil dua bahasa asing dan bagi membantu membina jati diri dan menjadi rakyat Malaysia yang bitara, pelajar juga perlu mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum seperti muzik, sukan, kesenian, badan beruniform dan persatuan," katanya.

Rosmah berkata guru-guru yang dipilih mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang di peringkat Sarjana Muda atau Sarjana dan mereka dilatih untuk menyesuaikan sukatan pelajaran dan penyampaian kurikulum dengan ciri serta keperluan pembelajaran pelajar pintar cerdas bermula awal bulan ini sehingga minggu pertama bulan depan.

"Pihak UKM juga menjemput beberapa pakar pedagogi dari Amerika Syarikat dan Australia bagi membantu dalam latihan itu dan guru-guru akan diberi latihan berterusan pada hujung minggu untuk membantu mereka menjalankan tugas dengan berkesan," katanya.

Daripada dua ujian saringan yang diadakan, seramai 350 pelajar dipilih menyertai Program Perkhemahan Khas Matematik dan Sains pada 25 hingga 27 November lepas bagi mengenal pasti calon yang layak menyertai Program Menengah Tinggi Permata Pintar itu.

Mengenai Program Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar Negara 2010, Rosmah berkata penyertaan kali ini hampir dua kali ganda dari tahun lepas dan nilai skor ujian juga lebih baik.

Apa yang menggalakkan seramai 445 pelajar atau hampir 75 peratus daripada 600 pelajar yang mengikuti program itu terdiri daripada mereka yang menetap di luar bandar dan dari keluarga berpendapatan kurang RM1,500, katanya.

Rosmah berkata program tahun ini turut disertai lapan pelajar luar negara iaitu dari Brunei, India dan Singapura.

Sebanyak 13 kursus ditawarkan dengan pertambahan lima kursus iaitu Crystal and Polymer, Mathematics and Game Theory, Flight Science, Green Technology dan Advanced Robotic, katanya.

Beliau turut mencadangkan agar satu dana atau yayasan ditubuh untuk anak-anak Permata Pintar serta menggalakkan sektor korporat untuk memberikan sumbangan mereka bagi membantu menyediakan bantuan dan prasarana yang lebih baik kepada anak-anak pintar cerdas itu.

Pusat Permata Pintar UKM juga diharap dapat dijadikan pusat program perkhemahan kanak-kanak pintar cerdas utama di benua ini untuk disertai oleh kanak-kanak dari negara jiran, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain