suria

Anggota Parlimen Perlu Berbahas Dengan Berwibawa Dan Berintegriti, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen termasuk wakil rakyat perlu berbahas dengan penuh wibawa, berintegriti dan bernas bagi mencapai matlamat menjadikan Parlimen negara bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Anggota Parlimen juga perlu berbahas secara berhemah, tertib dan matang, selain lebih bertanggungjawab dan mampu menjadikan badan perundangan tertinggi negara itu sentiasa relevan dan efektif dalam menjalankan tugas menyuarakan hasrat rakyat.

"Setelah lebih setengah abad, apa yang jelas pastinya kita berupaya mentransformasikan institusi Parlimen di negara kita ini sebagai institusi badan perundangan bertaraf dunia, setaraf dengan institusi Parlimen di negara-negara maju yang lain seperti di Britain.

"Saya percaya Anggota-anggota Parlimen semuanya bersatu hati dan mempunyai visi dan misi yang sama iaitu ke arah Parlimen bertaraf dunia," katanya semasa melancarkan buku 'Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia' di Dewan Bankuet, Parlimen di sini, Isnin.

Muhyiddin berkata Anggota Parlimen termasuk wakil rakyat perlu melihat kembali sejarah lalu dan menyesuaikan pengajaran masa lalu mengikut kesesuaian masyarakat semasa.

"Lihatlah kembali sejarah lalu dan belajarlah daripada mereka, dalam masa yang sama harus sentiasa ingat bahawa perubahan masa itu melibatkan perubahan corak hidup dan budaya.

"Justeru pengajaran yang diambil dari masa lalu hendaklah disesuaikan mengikut kesesuaian masyarakat semasa," katanya.

Mengenai buku yang dihasilkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu, Muhyiddin berkata karya itu pasti mampu meningkatkan pengetahuan dan mendedahkan rakyat mengenai fungsi serta peranan dan perjalanan Parlimen Malaysia.

"Saya percaya karya ini bukan sahaja merupakan sumber maklumat dan pengetahuan, tetapi isi kandungannya adalah warisan yang perlu dipelihara dan seterusnya disemai serta dilestarikan kepada masyarakat.

"Sayugia, ia juga dapat menimbulkan kesedaran betapa institusi Parlimen ini perlu terus utuh dipertahankan untuk kepentingan rakyat dan keharmonian serta kemajuan negara," katanya.

Buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia setebal 219 muka surat itu diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan dijual pada harga RM30 sebuah.

Buku itu antara lain menggarap perkembangan institusi Parlimen, peranan serta tugas para Yang Dipertua mengikut kronologi zaman sejak sebelum merdeka sehingga sekarang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain