suria

Bekas Panglima ATM Dirawat Di Hospital Angkatan Tentera

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen (B) Tun Ibrahim Ismail kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini kerana sakit tua, sejak tiga bulan lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melawat Ibrahim pada Sabtu berkata beliau yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta doktor dan jururawat untuk memberi rawatan terbaik kepada Ibrahim, 88, yang telah banyak berjasa kepada negara.

"Ibrahim mempunyai banyak anak didik yang terdiri daripada bekas dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) sekarang, selain jasanya dalam memperkukuhkan dan memperkembangkan ATM yang tidak dapat dinafikan," kata Ahmad Zahid.

Anak kelahiran Johor Baru ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan PAT yang ketiga.

Pada 30 November 1977, beliau menamatkan perkhidmatan setelah 36 tahun berkhidmat sebagai tentera dan sekaligus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai PAT Malaysia.

Sepanjang menjadi PAT dalam ATM, beliau dikatakan banyak mengatur kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis.

Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan Force 136 sekitar 1940-an bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain