suria

Mahkamah Arah Syarikat Sosilawati Teruskan Perjanjian Jual Beli Hartanah RM3 Juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Jumaat, memerintahkan syarikat milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya untuk menjual hartanah bernilai RM3 juta kepada sepasang suami isteri, seperti yang dipersetujui dalam satu perjanjian jual beli.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Low Choong Yen, 59, dan isterinya, Lim Bee Geok, 52, untuk mendapatkan penghakiman terus dalam saman yang difailkan mereka terhadap Nouvelle Beauty Sdn Bhd.

Keputusan itu dibuat didalam kamar pada Jumaat, dan media dimaklumkan perkara tersebut oleh peguam Karena Tang Shiau Hui yang mewakili plaintif.

“Mahkamah turut memerintahkan supaya defendan (Nouvelle Beauty) untuk menandatangani perjanjian jual beli dalam tempoh 14 hari bermula Jumaat, dan dokumen berkaitan juga perlu diserahkan kepada plaintif,” katanya.

Karen menambah, mahkamah juga memerintahkan defendan untuk membayar kos RM15,000 kepada plaintif.

Nouvelle Beauty diwakili oleh peguam Mohd Hadi Ar Rais Muhamad.

Kronologi saman bermula selepas Low dan Lim mengemukakan saman tersebut terhadap Nouvelle Beauty pada 5 Ogos lalu, iaitu 25 hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang sebelum disahkan mati dibunuh.

Sosilawati hilang bersama selepas d ikatakan menuju ke Banting, dekat sini, bersama pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Low dan Lim mendakwa, syarikat tersebut telah bersetuju untuk menjual sekeping tanah seluas 144.9 meter persegi, bersama bangunan pejabat empat tingkat di atasnya dengan nilai RM3 juta menerusi surat tawaran yang ditandatangani pada 2 April lalu.

Plaintif juga mendakwa, mereka telah membayar deposit RM60,000 bila menandatangani surat tawaran dan baki deposit RM240,000 dibayar apabila perjanjian jual-beli ditandatangani.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa mereka menerima surat bertarikh 30 April lalu yang memaklumkan syarikat tersebut tidak lagi berminat untuk meneruskan perjanjian jual-beli itu.

Selain itu, plaintif juga memohon perisytiharan bahawa terdapat perjanjian jual-beli yang sah di antara mereka dan syarikat tersebut selain perintah injunksi bagi menyekat syarikat daripada menjual harta tersebut kepada mana-mana pihak lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain