suria

Sikap, Pemanduan Berhemah Mampu Kurangkan Kadar Kemalangan

PETALING JAYA: Sikap dan pemanduan secara berhemah merupakan elemen penting yang perlu diterapkan terhadap pemandu serta pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Sadullah berkata bagi memastikan perkara itu terlaksana pihaknya turut mengadakan program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"Kesedaran mengenai keselamatan jalan raya perlu dimulakan sejak diperingkat kanak-kanak.

"Bukan itu sahaja, kurikulum yang ditawarkan di pusat latihan memandu juga perlu dilihat kembali supaya aspek ‘efektif’ iaitu bagaimana cara memandu yang selamat, berhemah ketika memandu diberikan penekanan oleh pemandu di negara ini,” katanya kepada mStar Online di sini Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kerugian sebanyak RM7.8 bilion ditanggung oleh kerajaan disebabkan oleh kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kajian yang dibuat oleh Miros kerugian berbilion ringgit itu bersamaan dengan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) membabitkan kehilangan nyawa 6,745 orang pada tahun lepas berbanding hanya 6,527 orang pada tahun 2008.

Bagaimanapun, Ahmad Farhan berkata usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya perlu menjadi tanggungjawab semua pihak tanpa perlu menunding jari kepada mana-mana pihak.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, bukan sahaja pengguna jalan raya malah pengusaha lebuh raya perlu memastikan jalan yang direka dan dibina itu selamat utuk digunakan.

"Kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengurangkan kadar kemalangan maut yang semakin membimbangkan lewat kebelakangan ini," katanya.

Mengulas lanjut mengeia AES, beliau berkata sistem tersebut dijangka akan diperkenalkan selewat-lewatnya tahun hadapan sebaik sahaja Parlimen meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan.

"Dengan adanya sistem AES kesalahan seperti melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju akan mudah dikesan.

"Kita akan memasang kamera di lokasi-lokasi panas bagi mengenalpasti pemandu yang didapati melanggar undang-undang jalan raya ini," katanya.

Menurutnya, pemandu yang didapati bersalah akan diberikan saman secara terus sebaik sahaja, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenalpasti pemilik kenderaan tersebut.

"Bukan itu sahaja, penggunaan, AES juga akan mengurangkan jumlah penguat kuasa seperti daripada pihak Polis dan JPJ yang bertugas di jalanan, sekali gus menjimatkan kos untuk penguatkuasaan undang-undang jalan raya," katanya.

Ditanya adakah kadar kemalangan yang meningkat disebabkan kurangnya pengetahuan dikalangan pengguna jalan raya, Ahmad Farhan berkata masalah tersebut tidak boleh dikatakan sebagai punca utama.

"Kita tidak boleh kata pengguna jalan raya ini kurang pengetahuan kerana pihak kerajaan sentiasa mengadakan kempen keselamatan jalan raya dari semasa ke semasa tidak kira di peringkat sekolah mahupun menggunakan media masa.

"Pada saya keluarga turut memainkan peranan, ibu bapa perlu memantau serta menegur anak mereka sekiranya mereka tidak pakai topi keledar atau tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu, perkara seperti ini perlu bermula dari rumah. Kesedaran itu perlu wujud dalam diri setiap pengguna jalan raya,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru pengguna jalan raya mempunyai disiplin diri yang kuar disamping mengamalkan sikap tolak ansur ketika memandu bagi mengelakkan kadar kemalangan jalan raya terus meningkat.

Artikel Lain